AAM rosak? Cawangan ditutup, panggilan tidak dijawab

AAM rosak? Cawangan ditutup, panggilan tidak dijawab

Satu masa dulu mempunyai keahlian sehingga 400,000, pengguna kini mengadu AAM gagal menjawab panggilan di samping banyak cawangan ditutup.

aam
PETALING JAYA:
Krisis kewangan yang melanda Persatuan Automobil Malaysia (AAM) semakin menjejaskan prestasi organisasi itu memberi perkhidmatan kepada ahlinya.

Ramai yang kini memutuskan tidak lagi menyambung langganan tahunan mereka, yang antara lain membolehkan mereka mendapatkan bantuan kecemasan ketika di jalan raya seperti perkhidmatan membaiki kereta atau lori tunda.

Sebelum ini, AAM yang bertapak di negara ini sejak 1932 tidak pernah mengalami sebarang masalah, dan pernah menjadi pilihan ramai pemandu kenderaan yang menganggap keahlian AAM satu kemestian.

Pertubuhan itu kini seperti tidak lagi beroperasi, dan tinjauan FMT mendapati laman webnya juga tidak dikemaskini, dengan notis mesyuarat tahunan pada Disember 2015 masih lagi tertera.

Mohd Noramil Daril mendapati perkhidmatan AAM kini semakin merosot.

“Bila dihubungi untuk mendapat bantuan apabila kereta rosak, pihak AAM tak jawab. Banyak cawangan ditutup menyebabkan kami susah teruskan langganan untuk perkhidmatan ini.

“Setiap tahun kami bayar RM100, tapi perkhidmatan tidak ada.

“Lebih baik kami hentikan langganan ini dan cari perkhidmatan lebih bagus,” kata Noramil, yang berkata pernah mengadu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Seorang lagi ahli yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia berkata beliau mungkin akan menamatkan keahliannya selepas 22 tahun.

“Perkhidmatan AAM sebelum ini bagus. Bila saya hubungi, mereka terus datang,” katanya kepada FMT.

Beliau menceritakan bagaimana pada 30 Ogos lalu, AAM gagal memberikan bantuan memperbaiki kenderaannya yang rosak walaupun selepas 5 jam menunggu.

Ahli AAM, Regina, berkata beliau menuntut AAM memulangkan kembali wangnya selepas terpaksa memanggil lori tunda dari syarikat lain.

Seorang lagi pelanggan perkhidmatan AAM sejak 20 tahun berkata beliau diberitahu cawangan AAM di Klang tidak dapat memenuhi panggilan kecemasan.

“Bila saya hubungi, mereka tak boleh datang. Saya tidak tahu apa masalah sehingga memaksa saya pergi ke pejabat AAM di Klang, sebelum diberitahu ada masalah pengurusan menyebabkan perkhidmatan tidak dapat diberikan.”

Beliau merancang hadir ke mesyuarat agung AAM nanti bagi menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi.

Pada zaman kegemilangannya, keahlian AAM pernah mencecah 400,000 orang, tetapi kini hanya tinggal kira-kira 36,000 ahli.

Pertubuhan itu kini berdepan krisis hutang sebanyak RM6 juta, dan dilaporkan menjual bangunan ibu pejabatnya kepada WWRC Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat larutan kimia.

Menurut laporan, AAM sudah menerima 10% daripada harga jualan RM7.5 juta itu pada Mei lalu, sebelum mesyuarat agung khas (SGM) dipanggil untuk mendapatkan kelulusan ahli.

Baru-baru ini, pekerja mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses menyaman AAM kerana hampir setahun tidak membuat caruman untuk pekerjanya, selain 16 pusat panggilan bantuan pelanggan dikatakan tidak beroperasi kerana pekerja tidak lagi bertugas.

Pautan:

Bangunan AAM terjual RM7.5 juta, tak jamin tunggakan gaji selesai

Tindakan AAM jual bangunan di Shah Alam dipersoalkan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.