
Sin Chew Daily melaporkan, pelayan komputer sebuah syarikat perdagangan kelapa sawit di Kulai digodam dengan Ransomware.
Individu bertanggungjawab di syarikat terbabit yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu akhbar berbahasa Cina itu, rakan dalam industri sama memaklumkan syarikatnya bukan yang pertama “diculik” kerana ada banyak syarikat lain di Johor Bahru turut menjadi mangsa penggodam.
Ketika mengaktifkan komputer kira-kira jam 7 pagi semalam, kakitangan syarikat itu mendapati pelayan komputer tidak berfungsi dan mereka kemudiannya menerima satu e-mel.
Syarikat itu hanya menyedari pelayan komputer mereka “dikunci” dan hanya boleh dibuka semula dengan kata laluan, selepas pegawai bertanggungjawab mengemukakan soalan kepada alamat e-mel menggunakan komputer lain.
Penggodam terbabit turut memberi amaran mereka perlu membuat bayaran bersamaan RM3,500 untuk 2 unit mata wang perdagangan atas talian (berjumlah RM7,000) dalam tempoh 2 hari untuk mendapatkan kata laluan itu.
Jika bayaran ditangguhkan sehingga hari ke-3, mereka perlu membayar untuk 3 unit mata wang perdagangan atas talian (berjumlah RM10,500).
Pegawai bertanggungjawab itu memberitahu Sin Chew Daily, beliau tidak bercadang membuat sebarang bayaran kerana bimbang penggodam akan terus mengugut mereka dengan “mengunci” pelayan komputer syarikat.
Beliau berkata, maklumat yang terjejas itu adalah maklumat 6 tahun lalu dan syarikat terbabit memerlukan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan untuk menyusun serta memasukkan maklumat berkenaan.
Katanya, penggodam berpeluang menyerang pelayan komputer mereka kerana kata laluan yang ditetapkan syarikat tidak kukuh bagi memudahkan pekerja mengaktifkan komputer masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan syarikat lain untuk menggunakan kata laluan lebih kukuh bagi meningkatkan tahap keselamatan terhadap pelayan komputer dan maklumat mereka.