Pelobi di AS akan usaha jayakan TPP, kata pemerhati

Pelobi di AS akan usaha jayakan TPP, kata pemerhati

Pelobi tidak akan mendiamkan diri, sebaliknya mereka akan terus mendesak TPP diluluskan ketika tempoh peralihan pentadbiran AS hujung tahun ini.

tppa
KUALA LUMPUR:
Pelobi sektor korporat akan berusaha memastikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dapat dilaksanakan, walaupun ditentang 2 calon presiden Amerika Syarikat (AS), kata pemerhati.

Ada pihak menjangkakan TPP yang dimeterai 12 negara tidak akan diteruskan tanpa kelulusan pemain utamanya, AS kerana ia perlu mendapatkan kelulusan Kongres negara itu selewat-lewatnya Februari depan, tetapi kini ia dibantah kedua-dua calon presiden AS – Donald Trump dan Hillary Clinton.

Tempoh perkhidmatan Barack Obama akan tamat pada 20 Januari 2017 dan pilihan raya presiden AS bakal berlangsung November ini.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Abdul Hamid tidak yakin TPP akan terbatal begitu sahaja, hanya kerana 2 calon presiden AS menentangnya.

“Pelobi daripada korporat di sana tidak akan berdiam diri. Mungkin mereka hanya membiarkan sahaja kedua-dua calon sementara kempen berjalan dan akan berunding dengan pihak yang menang,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau menggesa NGO dan masyarakat sivil yang membantah TPP supaya bekerjasama dengan masyarakat AS yang menentang perjanjian itu bagi memastikan presiden AS baharu tidak mengubah pendirian dan retorik ketika ini.

Sabtu lalu, The Star melaporkan, TPP tetap akan berkuat kuasa jika mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 6 negara dengan gabungan 85% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi semua negara anggotanya.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, hampir mustahil untuk perjanjian itu diteruskan tanpa AS, memandangkan ia adalah “agenda geo-politik” negara itu, namun Clinton mungkin tunduk kepada desakan korporat AS, jika beliau dipilih sebagai presiden berbanding Trump.

“Apa yang akan berlaku adalah negara (yang menandatanganinya) akan membuat rundingan perdagangan bebas antara satu sama lain secara 2 hala. Ini adalah lebih adil dan tanpa klausa kontroversi seperti ISDS (investor-state dispute settlement),” katanya.

ISDS adalah bahagian undang-undang antarabangsa yang memberi hak kepada pelabur untuk mencabar undang-undang sesebuah negara, jika merasakan ia melanggar peruntukan dalam TPP.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago juga mengakui pengaruh pelobi ke atas presiden AS dan memaklumkan pertemuan mereka dengan White House dan Perwakilan Perdagangan AS (USTR) bagi merangka strategi mendapatkan sokongan untuk TPP.

“Ada kemungkinan ia akan diluluskan ketika tempoh peralihan presiden,” katanya yang kuat membantah pembabitan Malaysia dalam TPP.

Kenyataan itu selaras laporan Wall Street Journal pada 13 September lalu yang Obama akan melakukan usaha terakhirnya untuk mendapatkan sokongan melalui ‘Export Council’ – jawatankuasa yang dianggotai sektor perniagaan bagi menggesa Kongres AS meluluskan TPP pada tempoh peralihan hujung tahun ini.

TPP ditandatangani AS dan 11 negara Asia Pasifik, iaitu Malaysia, Australia, Canada, Jepun, Vietnam, Mexico, Peru, Singapura, Brunei, Chile dan New Zealand, selepas rundingan kira-kira 7 tahun.

Pautan:

Malaysia bersedia hadapi kerugian jika TPP gagal dimeterai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.