Pembinaan Monorel Putrajaya mungkin diteruskan

Pembinaan Monorel Putrajaya mungkin diteruskan

Jika cadangan itu diluluskan, Monorel Putrajaya dijangka akan siap pada 2021, dan akan menjadi pelengkap kepada MRT2 (Sungai Buloh-Putrajaya) yang dijadualkan siap pada tahun sama.

monorel
PUTRAJAYA:
Impian Putrajaya untuk mempunyai perkhidmatan monorel dijangka dapat kembali menjadi kenyataan susulan satu syarikat terkemuka di negara ini dikatakan sudah membentangkan cadangan kepada Majlis Ekonomi untuk menghidupkan semula projek itu.

Akhbar The Sun yang memetik sumber dalam industri sebagai berkata, difahamkan MMC Corporation Berhad (MMC) berminat untuk mengambil alih projek itu, yang terhenti pada 2004 akibat kekangan bajet daripada kerajaan.

Katanya, jika cadangan itu diluluskan, Monorel Putrajaya dijangka akan siap pada 2021, dan akan menjadi pelengkap kepada MRT2 (Sungai Buloh-Putrajaya) yang dijadualkan siap pada tahun sama.

Sumber itu berkata cadangan MMC untuk memulihkan projek itu dilihat realistik dan selaras dengan jangkaan mendapatkan jaringan pengangkutan awam yang efisien dalam pusat pentadbiran kerajaan dengan 3 lagi landasan iaitu MRT2, ERL dan Kereta api Laju KL-Singapura – dengan Putrajaya sebagai salah satu pusat transit.

“Bagi permulaan, stesen monorel di Putrajaya Sentral akan diintegrasikan bersama stesen pertama MRT2, dengan sambungan yang lancar melalui skybridge sepanjang 84m,” kata sumber itu dipetik daripada The Sun.

Dalam pelan asal, fasa pertama projek itu dianggarkan bernilai RM400 juta untuk 2 landasan – 12.6km dengan 18 stesen dan 6.8km lagi untuk 7 stesen (landasan kedua). Trek bawah tanah sepanjang 4km dan 9km lagi di atas tanah dapat disiapkan sebelum ia terhenti.

Selepas majlis pecah tanah MRT2 minggu lalu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh memberi taklimat kepada pegawai kerajaan, eksekutif MRT Corp dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai idea syarikat itu mengenai projek monorel berkenaan, lapor The Sun.

Bagaimanapun, cubaan terbaru untuk membangunkan monorel Putrajaya itu masih belum didedahkan sama ada ia akan dijalankan secara persendirian oleh MMC atau kerjasama dengan pihak lain, seperti MRT1 (Sungai Buloh-Kajang).

“Pembiayaan mungkin daripada sumber kewangan peribadi atau mengguna pakai model kerjasama awam-swasta,” kata sumber itu, menambah yang projek berkenaan di bawah bidang kuasa Unit Perancang Ekonomi dan agensi lain.

Sementara itu, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi The Sun mengesahkan MMC sudah menghantar kertas cadangan kepada Majlis Ekonomi untuk membangunkan semula projek itu.

Syed Hamid berkata kerajaan mengarahkan SPAD menjalankan kajian kemungkinan untuk pembinaan perkhidmatan monorel dan trem bagi Putrajaya dan Cyberjaya.

Difahamkan, kajian sedang dijalankan dan dijangka siap pada Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.