Nazir Razak sokong gesaan Sultan Johor wujudkan sekolah satu aliran

Nazir Razak sokong gesaan Sultan Johor wujudkan sekolah satu aliran

Tokoh korporat menggesa majlis perundingan negara sekali lagi bersidang untuk membincangkan isu pendidikan, membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi, Islam dan Perlembagaan sekular.

nazir-razak
KUALA LUMPUR:
Tokoh korporat Datuk Seri Nazir Razak bersetuju dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berpendirian sistem pendidikan satu aliran terbaik untuk kesatuan negara.

Dalam muatnaik Instagram hari ini, pengerusi CIMB itu berkaa: “Bersetuju dengan Tuanku. Isu ini sangat penting tetapi sensitif yang perlu dipertimbangkan.”

Dalam pertemuan dengan pimpinan persatuan masyarakat Cina semalam, Sultan Ibrahim sekali lagi membangkitkan kepentingan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.

Menegaskan pendidikan bertujuan untuk membangunkan bakat berkualiti dan menyatukan masyarakat, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menambah:

“Saya fikir ia perlu dibincangkan bersama isu penting lain seperti tindakan afirmatif berdasarkan keperluan berbanding Dasar Ekonomi Baru, negara Islam berbanding perlembangaan sekular negara kita, membina semula kepercayaan rakyat kepada institusi negara, menerapkan kesederhanaan dalam politik & masyarakat dan sebagainya.”

Beliau menambah sudah tiba masanya Majlis Perundingan Negara 2 ditubuhkan untuk membetulkan hala tuju jangka masa panjang negara berasaskan kepada keperluan dan aspirasi generasi rakyat Malaysia hari ini, yang tegasnya, “sangat berbeza dengan keperluan dan aspirasi” generasi majlis perundingan negara pertama 1970.

Pada jam 6.43 petang, catatan itu mendapat 678 ‘suka’.

Menurut laporan Malaysiakini, Sultan Johor di mesyuarat bersama persatuan Cina berkata kesatuan kaum di negara ini tidak tercapai dan baginda percaya lantaran pemisahan sekolah mengikut kaum.

Menurut laporan itu, Sultan Johor memetik peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung” bagi menekankan penerapan nilai pada usia kecil jika mahu menghasilkan generasi baharu yang bersatu di masa hadapan.

“Mereka tidak boleh dipisahkan mengikut kaum atau agama. Pendidikan asas sangat penting untuk menerapkan nilai dan budaya masyarakat berbilang kaum,” katanya berdasarkan laporan itu.

Sultan Johor pada perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor Mei tahun lalu menyentuh mengenai kejayaan sistem pendidikan Singapura memupuk kesatuan.

Bulan lepas, baginda menggesa sistem pendidikan satu aliran, menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.