Tiba masa nilai semula federalisme dan perkongsian hasil, kata Nazir

Tiba masa nilai semula federalisme dan perkongsian hasil, kata Nazir

Anak perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein menekankan pendekatan bapanya yang mengutamakan rundingan nasional untuk mencapai konsensus berbanding kepentingan politik jangka pendek.

Nazir Razak
Nazir Razak berkata fokus bapanya terhadap kestabilan dan pembangunan dalam tempoh mencabar harus jadi pengajaran dalam berdepan kerumitan politik kini.
KUALA LUMPUR:
Malaysia mungkin perlu melaksanakan pembaharuan dalam beberapa bidang utama termasuk dasar ekonomi, federalisme serta perkongsian hasil, kata Pengerusi Yayasan Tun Razak, Nazir Razak.

Namun beliau menekankan sebarang perubahan mesti dibuat melalui proses rundingan menyeluruh dan bukan secara tergesa-gesa atau ad hoc.

Nazir, anak kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein memberi contoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan bapanya.

Beliau menegaskan dasar itu tidak pernah bertujuan untuk dilaksanakan selama-lamanya, sebaliknya dirangka dengan tempoh pelaksanaan sekitar 20 tahun.

“Persoalannya, adakah ia masih relevan untuk rakyat Malaysia hari ini?” katanya dalam temu bual bersama FMT sempena ulang tahun ke-50 pemergian bapanya.

Menurut Nazir, sudah tiba masanya dasar itu dinilai semula bagi melihat sama ada ia masih sesuai atau perlu diperhalusi mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, struktur Persekutuan dan cara ia ditadbir juga wajar diteliti semula, sambil mengingatkan perkembangan politik kebelakangan ini telah menyaksikan beberapa kuasa diagihkan semula daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

“Mungkin kita perlu melalui satu proses untuk mengimbangi semula aspek ekonomi, termasuk soal kutipan cukai,” katanya.

Namun, Nazir memberi amaran perjanjian berasingan antara kerajaan persekutuan dengan negeri-negeri tertentu hanya akan mencetuskan rasa tidak puas hati.

“Kita tidak boleh ada satu negeri diberi keistimewaan, kemudian negeri lain pula menuntut perkara sama. Ini akan mencetuskan kekacauan, dengan semua pihak mempersoalkan mengapa negeri lain mendapat sesuatu yang mereka tidak peroleh,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tekanan daripada Sabah berkaitan hak perlembagaannya terhadap perkongsian hasil cukai telah mendorong negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang mengemukakan tuntutan serupa.

Bagaimana Razak melakukannya

Nazir mengimbas kembali pendekatan bapanya yang melalui proses rundingan nasional yang menyeluruh sehingga melahirkan DEB dan Rukun Negara.

Menurutnya, proses sedemikian boleh menjadi kaedah sihat untuk menyatukan semula rakyat, termasuk menilai sama ada formula perkongsian hasil sedia ada tidak tepat atau tidak dilaksanakan dengan betul.

Beliau berkata Parlimen mungkin bukan medan paling sesuai untuk proses rundingan sedemikian kerana salah satu kelemahan sistem demokrasi ialah kebergantungan sepenuhnya kepada sistem parti politik.

Dalam perbahasan Parlimen, kata Nazir, ahli politik sering bercakap berdasarkan kepentingan politik atau garis parti, bukan atas keyakinan sebenar dan keadaan itu menjadikan proses penstrukturan semula nasional kurang berkesan.

“Kita perlu melihat semula bagaimana Tun Razak melaksanakan pembaharuan besar pada 1971 dan menyesuaikannya dengan cabaran serta aspirasi rakyat Malaysia hari ini,” katanya.

Nazir berkata proses dilaksanakan bapanya melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada latar belakang berbeza.

Menurutnya, dengan kepelbagaian komuniti dan kumpulan sosial, proses tolak ansur amat penting untuk mencapai titik persamaan agar negara dapat bergerak ke hadapan bersama.

Beliau mengakui perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan dan pemimpin tidak mampu menyatukan semua pihak sepenuhnya, justeru konsensus majoriti hasil rundingan nasional yang menyeluruh adalah kunci kejayaan.

Fokus kepada kestabilan

Mengulas legasi bapanya, Nazir berkata penekanan terhadap kestabilan dan pembangunan ketika negara berdepan situasi sukar wajar dijadikan iktibar dalam landskap politik Malaysia yang semakin tegang hari ini.

Selepas rusuhan 13 Mei, katanya, Razak memerintah selama 22 bulan dalam keadaan yang boleh dianggap autoritarian, namun secara luar biasa mengembalikan semula kuasa kepada rakyat dan Parlimen selepas itu.

“Kebanyakan diktator tidak akan berbuat demikian,” katanya sambil menjelaskan bapanya merasakan Malaysia ketika itu belum bersedia untuk politik yang terlalu berlebihan.

Atas sebab itu, Barisan Nasional (BN) diwujudkan bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada pembangunan tanpa segala perkara dipolitikkan secara melampau, walaupun sistem itu telah berkembang dan berubah mengikut peredaran masa.

Nazir berkata cabaran hari ini mungkin kelihatan besar, namun generasi pemimpin terdahulu berdepan keadaan yang jauh lebih sukar.

Ketika itu, negara berdepan ancaman komunis yang serius, konfrontasi dengan Indonesia serta ketegangan kaum yang akhirnya membawa kepada peristiwa 13 Mei.

“Kini memang masa mencabar, tetapi kita pernah melalui masa lebih mencabar dan pemimpin ketika itu berjaya menanganinya,” katanya.

Cabaran Petronas

Mengulas pertikaian antara Petronas dan Petros, Nazir menegaskan kepentingan rundingan yang jelas, telus dan berlandaskan logik komersial serta keperluan pembangunan.

Menurutnya, tiada jalan pintas dalam isu itu dan perbincangan menyeluruh perlu dilakukan dengan kefahaman bersama.

Beliau turut menyatakan kelebihan Petronas sebagai syarikat tidak tersenarai di bursa saham, yang membolehkannya membuat keputusan berdasarkan pertimbangan komersial dan pembangunan.

Bagaimanapun, Nazir mengingatkan tanggungjawab Petronas tidak diperluaskan sehingga menjejaskan daya maju perniagaannya.

“Petronas mempunyai mandat jelas. Pembasmian kemiskinan dan tanggungjawab sosial lain adalah peranan kerajaan, bukan Petronas,” katanya.

Beliau menegaskan Petronas perlu memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas, selain berhati-hati terhadap keperluan perbelanjaan modalnya pada masa depan.

“Ramai beranggapan Petronas menjana keuntungan besar, tetapi syarikat itu juga perlu melabur semula dalam jumlah yang tinggi. Perkara ini perlu diimbangi,” katanya.

Petronas ditubuhkan kerajaan pimpinan Abdul Razak pada 1974 di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, yang memberikan pemilikan penuh sumber petroleum serta hak penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia.

Akta itu menetapkan Petronas berada di bawah kawalan dan arahan perdana menteri, yang bersifat mengikat.

Negarawan itu meninggal dunia pada 14 Jan 1976, namun nilai dan legasinya terus dipelihara melalui Yayasan Tun Razak.

Di bawah kepimpinan Nazir, yayasan itu menjalankan program kepimpinan belia serta sedang menyiapkan dokumentari dan buku mengenai legasi Abdul Razak.

Layari yayasantunrazak.org.my untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan Tun Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.