PAS sedia hadapi pilihan raya kilat, Amanah mahu kaji dulu

PAS sedia hadapi pilihan raya kilat, Amanah mahu kaji dulu

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata jentera sedia menghadapi pilihan raya di 45 kerusi DUN Selangor

pas-amanah
PETALING JAYA:
PAS Selangor berkata jentera parti Islam itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya kilat pada bila-bila masa sekiranya Kerajaan Negeri membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) lebih awal.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata demikian selepas DAP Selangor mahu DNS dibubarkan bagi memintas cadangan persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jentera PAS sudah siap sedia untuk menghadapi apa-apa pilihan raya pada bila-bila masa. Kita sudah sedia menghadapi 45 kerusi di DUN Selangor,” katanya kepada FMT.

Mesyuarat tergempar DAP Selangor semalam memutuskan pilihan raya kilat merupakan jalan terbaik mempertahankan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS di negeri itu.

Selain DAP Selangor, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang juga mencadangkan kerajaan Selangor mengadakan pilihan raya mengejut supaya tidak perlu menggunakan peta pilihan raya baharu, yang didakwa memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Bagaimanapun, cadangan Kit Siang dan DAP Selangor itu ditolak Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin berkata mandat daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum 2013 mesti dihormati dan tidak boleh diketepikan demi kepentingan politik

Cadangan persempadanan semula SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

DAP Selangor menganggarkan 7 kerusi DUN – Sabak (PAS), Hulu Kelang (Amanah), Sementa (PKR), Selat Klang (PAS), Pelabuhan Klang (Bebas), Sijankang (PAS) dan Morib (Amanah) – bakal terlepas kepada BN sekiranya cadangan diluluskan.

“Saya tidak fikir pengundi akan mengambil mudah jika pilihan raya kilat ini satu-satu caranya untuk menyelesaikan masalah (persempadanan semula SPR).

“Kita masih perlukan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ini kerana jika berlaku pertandingan tiga penjuru, Selangor akan jatuh kepada BN,” kata Iskandar.

Sekiranya pilihan raya diadakan, semua parti komponen pemerintah Selangor perlu membincangkan formula mengelakkan pertandingan tiga penjuru, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad berkata Amanah mahu mengkaji dahulu cadangan pilihan raya kilat.

“Kita tidak kata menyokong atau menolak cadangan itu, tetapi kita mahu mengkaji dahulu kesannya. Kerana sekarang ini kita tidak tahu PAS di mana (sokong BN atau Pakatan Harapan).

“Jadi kalau dibubarkan DUN, (kami bimbang) PAS buat hal dan jadi tiga penjuru. Kita kaji dahulu implikasinya kerana yang penting nak halang BN ambil alih Selangor,” katanya.

BN Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, sekadar berpuas hati dengan 12 kerusi.

Daripada 56 kerusi DUN, Pakatan Harapan mempunyai 29 kerusi manakala PAS 13. Dua lagi kerusi diwakili calon Bebas.

PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.