
Kekurangan bekalan minyak semasa menjadikan harga sawit melonjak ke paras tertinggi untuk tempoh 5 bulan iaitu RM2,728 pada Rabu sebelum didagangkan sekitar 0.6% lebih tinggi pada RM2,708 (AS$652) setiap tan pada sebelah petang.
Penapis yang membeli CPO untuk pemprosesan semula kepada produk seperti olein sawit, stearin dan sulingan asid lemak (PFAD), sudah lama mencadangkan penyusunan semula cukai eksport CPO Malaysia untuk memperkukuhkan margin menyaingi rakan niaga mereka dari Indonesia.
Penapis Indonesia menikmati kelebihan apabila levi AS$50 setan bagi eksport CPO membolehkan mereka menyimpan bekalan lebihan dan mengawal harga domestik sekali gus meningkatkan margin hiliran.
“Kawalan CPO sangat ketat, menyebabkan penapis terus bergelut. Kapasiti penapisan tidak digunakan sepenuhnya,” kata seorang ahli perniagaan Malaysia yang memiliki sebuah syarikat perladangan, menganggarkan kadar penggunaan di kilangnya ialah sekitar 55-60%.
“Kapasiti telah dikurangkan tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan di sana.”
Industri minyak sawit dikawal ketat sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan outputnya terjejas akibat kerosakan tanaman kerana cuaca El Nino.
Pengeluaran Malaysia meningkat sejajar dengan trend bermusim, tetapi output dikurangkan secara tahunan. Pengeluaran pada Ogos meningkat 7.3% dari Julai kepada 1.70 juta tan metrik, tetapi pada peringkat terendah pada Ogos sejak 2012.
Kelapa sawit Indonesia yang turut terkesan dengan El Nino, membeli bekalan CPO dari Malaysia untuk defisit bekalan, meyumbang kepada kekangan dalam pasaran tempatan, kata penapis tempatan yang berpusat di selatan Semenanjung Malaysia.
“Melihat kepada kekangan itu, ia mungkin kekal sehingga November dan kembali perlahan pada Disember, apabila eksport lebih rendah ketika itu,” tambahnya.
Permintaan terhadap minyak sawit biasanya perlahan dalam kalangan negara pengguna seperti China dan India menjelang akhir tahun, apabila suhu sejuk memejalkan minyak menjadikannya kurang menarik kepada pembeli.
“Bagaimanapun, apabila margin penapis dihimpit, bekalan penapisan lebih terhad menyebabkan peningkatan harga. Ini akan menjadi insentif untuk terus beroperasi,” kata penapis.