Anak Haron Din pertahan amalan tahlil arwah ubati kesedihan

Anak Haron Din pertahan amalan tahlil arwah ubati kesedihan

Kiriman Facebook anak Haron Din meluahkan perasaannya terhadap amalan zikir yang menurutnya hanya boleh dirasai mereka yang kehilangan orang tercinta.

haron-din
PETALING JAYA:
Anak perempuan kepada Datuk Dr Haron Din, pemimpin PAS yang meninggal dunia di Amerika Syarikat Jumaat lalu, menyifatkan amalan tahlil dan zikir memainkan peranan besar mengubati kesedihan mereka sekeluarga.

“Biar apa pun sanggahan akan peranan tahlil pada saat-saat begini. Hanya yang berdepan dengan peritnya kehilangan akan memahami bagaimana majlis tahlil menjadi ubat penenang paling mujarab. Khususnya pada 3 hari pertama yang paling getir ini,” tulis Dr Huda Haron dalam kiriman Facebook.

Ia dipercayai responnya terhadap pendapat yang melarang tahlil arwah, di mana Surah Yasin dan zikir dibaca secara berkumpulan.

Beberapa pendapat agamawan terutama yang terpengaruh dengan aliran Wahabi mengharamkan amalan seumpama itu.

Amalan tahlil merupakan tradisi berzaman umat Islam termasuk di Malaysia, di mana tahlil dan jamuan diadakan di rumah arwah untuk 3 atau 7 malam berturut-turut disusuli dengan tahlil pada hari ke-40.

Bagi Hoda, salah seorang daripada 5 anak tokoh PAS yang dihormati pelbagai lapisan masyarakat Islam di negara ini, beliau tidak mahu melayan hujah yang mengatakan sebaliknya mengenai amalan tahlil.

“Gunalah alasan apa sekali pun. Bagi kami, bila senja mula melabuhkan tirainya. Seribu satu macam perasaan berkecamuk mula bermain di segenap dimensi.

“Kesatuan dalam mengalunkan zikir dalam jahar berjamaah seakan mengubah gelombang minda menjadi lebih toleran dan harmonis.

“Tidak ada bukti? Tak ada bukti pun tidak mengapa. Yang penting, kami dapat rasa,” tulisnya.

Amalan tahlil dan berzikir pernah dikecam Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin sebagai bid’ah dan amalan Arab jahiliyah.

Haron, 76, meninggal dunia pada pagi Jumaat (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, akibat komplikasi jantung.

Jenazah mursyidul am PAS itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, California pada petangnya, (pagi Sabtu waktu Malaysia), selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anaknya, Hamdi di Masjid An Noor, San Francisco.

Selain Hoda, anak jati Perlis dari Kampung Behor Mali itu meninggalkan isteri, Datin Khadijah Md Salleh, dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

Mursyidul Am PAS Haron Din meninggal dunia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.