Amanah dakwa Hadi elak jelaskan RUU Akta 355

Amanah dakwa Hadi elak jelaskan RUU Akta 355

Kerana ia dibentang tanpa berbincang dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang dan kerajaan negeri, kata Amanah

Wan-Anwar_hadi-awang_law_600
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mampu menjawab soalan orang ramai berhubung cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) kerana dibentang tanpa berbincang dengan pihak berkepentingan.

Timbalan Presiden Biro Undang-Undang Amanah (KANUN) Wan Anwar Wan Ibrahim berkata pihak berkepentingan itu termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), kerajaan negeri, pengamal undang-undang, di samping wakil rakyat.

“Usul Ahli Parlimen Marang tidak jelas dan mengelirukan kerana tidak menunjukkan bagaimana cadangan meningkatkan hukuman akan perkasakan Mahkamah Syariah, kecuali menimbulkan ketakutan dan salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya di sidang media di Wisma Amanah Negara.

Wan Anwar menjelaskan Presiden PAS sepatutnya berbincang dengan pihak yang dia sebutkan itu kerana mereka terbabit dengan sistem keadilan syariah secara langsung.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut hadir di sidang media itu. Oleh kerana Hadi bercadang meminda undang-undang sedia, PAS bertanggungjawab menjelaskan keperluannya, katanya.

“Kami cuba bantu PAS dengan menyampaikan soalan orang ramai dan mereka perlu menjelaskan aspek teknikal cadangan itu, bukan bereterotik seperti selama ini.”

Ditanya sama ada beliau akan menyokong usul sekiranya PAS tampil dengan penjelasan teknikal, Khalid berkata bergantung kepada penerangan PAS.

Secara prinsip, Amanah menyokong peningkatan hukuman syariah atas dua sebab, kata Khalid.

“Pertama, supaya ada langkah pencegahan yang lebih berkesan kerana sekarang ini 90% tertuduh mengaku bersalah sebab lebih murah untuk membayar denda daripada mendapatkan peguam.

“Kedua, untuk bantu bina kepakaran mahkamah melalui perbicaraan kerana kemahiran hakim dan peguam tidak diasah sebab ramai tertuduh mengaku bersalah.”

Pada 6 September lepas, Khalid melalui media memohon Hadi supaya menjelaskan implikasi usulnya.

Khalid akui tidak ada surat rasmi dihantar kepada PAS atau Hadi tetapi mereka akan berbuat demikian hari ini dan beri masa sehingga 30 September untuk menjawab soalan mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud menolak kemungkinan Hadi tidak menyedari laporan media yang meminta penjesalan usul sejak 6 September lalu.

“Kami tak rasa perlu menulis surat rasmi kerana ahli politik selalu pantau berita dan ambil maklum perkembangan semasa terutamanya jika melibatkan parti,” jelasnya.

Usul dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mei dan akan dibahas Oktober nanti.

Rang undang-undang itu berhasrat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan meningkatkan kuasa mahkamah syariah, supaya Kelantan boleh mengenakan beberapa jenis hukuman jenayah Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.