
Peguam, Siti Kassim berkata polis membawa Sidek ke Johor Bahru bagi mendapatkan permohonan reman di mahkamah di sana, tetapi pada masa sama beliau tidak tahu mengapa anak guamnya ditahan dan direman.
“Sidek dibawa ke Johor Bahru. Kami ada peguam di Johor iaitu Roger Chan yang akan mewakili Sidek kerana saya tidak sempat untuk berada di sana,” katanya kepada FMT.
Siti berkata polis menahan Sidek pada jam 4.30 pagi tadi di rumahnya tanpa diketahui ke balai mana beliau dibawa.
“Kita tidak tahu dia dibawa ke mana pagi tadi. Tetapi dalam jam 10 pagi dia menelefon isterinya. Dia kata dia berada di Semarak, nombor yang digunakan untuk menghubungi ahli keluarga ialah dari Bukit Aman.
“Kami tidak tahu atas sebab apa dia ditahan, selain daripada sidang media polis yang menyatakan dia menghina Islam. Jadi, kami akan kenal pasti atas akta apa dia akan ditahan, sekarang ini kami tidak tahu,” katanya.
Siti berkata beliau kecewa dengan layanan polis apabila terpaksa mengenal pasti sendiri pegawai yang bertanggungjawab ke atas Sidek.
“Setelah mengenal pasti pegawai, dia keberatan untuk memaklumkan saya yang Sidek sedang dibawa ke Johor untuk direman. Polis sepatutnya memberitahu ahli keluarga mengenai situasi ini.
“Kami hanya dapat tahu daripada pegawai polis yang dia sedang dalam perjalanan ke Johor pada jam 12 tengah hari dan permohonan reman akan didengar pada 2.30 petang,” katanya.
Sementara itu, isteri Sidek, Norlin Wan Musa, dalam catatan di Facebook menceritakan bagaimana 2 anggota polis berpakaian biasa melompat masuk ke dalam pagar rumahnya dan mengetuk pintu dengan kuat pada jam 4.40 pagi.
Katanya, kedua-dua anggota polis itu tidak memberikan waran tangkap meskipun Sidek berkali-kali minta ditunjukkan waran tangkap.
“Salah seorang daripada lelaki itu menunjukkan kad pengenalan polis kepada suami saya. Tetapi dia terus menyimpannya ketika saya mendekatinya.
“Mereka masuk dan ambil telefonnya, naik ke atas ke bilik tidur kami untuk melihat sekeliling dan kemudian berkeras mahu ke bilik anak kami.
“Saya tidak benarkan mereka masuk dan beritahu saya tidak akan benarkan mereka menakut-nakutkan anak saya,” tulisnya.
Norlin berkata sebelum membawa Sidek pergi, mereka mengambil komputer riba dan gambar suaminya itu yang ada di dalam bilik tidur.
Katanya, amat menakutkan apabila sesiapa saja boleh masuk dan menakutkan seseorang tanpa waran tangkap, dalam rumahnya sendiri dan membawa pergi seseorang.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 3 individu ditahan kerana menghina Islam berhubung kematian Haron. Bagaimanapun, pada sidang medianya Khalid enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.