Zika: Sekolah di Selangor diarah batal rombongan ke Singapura, Filipina

Zika: Sekolah di Selangor diarah batal rombongan ke Singapura, Filipina

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berkata arahan pembatalan itu bagi rombongan yang akan ke sana semasa tempoh cuti sekolah ini dan dalam masa terdekat.

mohd-salleh_zika
SHAH ALAM:
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan semua rombongan sekolah ke Singapura dan Filipina dibatalkan berikutan penularan virus Zika.

Pengarahnya Mohd Salleh Mohd Kassim berkata arahan berkenaan dikeluarkan semalam kepada semua ketua Pejabat Pendidikan Daerah.

“Arahan pembatalan ini adalah untuk rombongan yang akan ke sana semasa tempoh cuti sekolah ini dan dalam masa terdekat.

“Bagi rombongan yang akan ke kedua-dua negara berkenaan pada hujung atau awal tahun ini dinasihatkan menangguhkan program berkenaan sehingga virus ini dapat dikawal atau dibasmi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Bulan Kebangsaan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Jabatan Pendidikan Negeri bagi mengekang penularan virus Zika di sekolah.

Salleh berkata pihaknya juga mengarahkan sekolah dicuci sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada 19 September nanti.

Katanya, cuti sekolah seminggu yang bakal bermula Isnin ini memberi masa yang cukup untuk nyamuk membiak.

Sehingga hari ini, terdapat 3 kes jangkitan virus Zika direkodkan di seluruh negara, kes pertama yang dilaporkan merupakan kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang manakala kes kedua ialah jangkitan tempatan di Sabah dan kes ketiga melibatkan wanita mengandung di Johor Bahru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.