
Allahyarham yang berusia 81 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira 6.15 petang tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah menerima rawatan sejak 6 September akibat masalah buah pinggang dan batu karang yang dihidapinya sejak lebih setahun lalu.
Yusoff yang dilahirkan pada 1935 di Pulau Pinang tetapi dibesarkan di Kedah mendapat jolokan ‘Iron Gate’ oleh pemain lawan kerana ketangkasannya mengawal pintu gol ketika beraksi bersama pasukan Perak dan skuad kebangsaan pada era 1950-an dan 1960-an.
Antara pemain legenda tanah air yang pernah beraksi sezaman dengan Yusoff adalah allahyarham Jalil Che Din, allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Arthur Koh dan Datuk M Kuppan.
Antara sumbangan Yusoff adalah membantu skuad negara memenangi Kejohanan Pestabola Merdeka pada 1958 sebelum meraih pingat emas pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) yang kini dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara (SEA) di Rangoon, Burma (kini Yangon, Myanmar), selang 2 tahun kemudian.
Yusoff yang mempunyai 3 anak berkhidmat dengan Jabatan Penjara sejak 1957 sehingga bersara dengan jawatan terakhir sebagai pengarah Penjara Alor Setar pada 1990.
Beliau dikurniakan gelaran Datuk oleh Sultan Kedah pada 2013.