Gugur janin kerana Zika bukan fatwa

Gugur janin kerana Zika bukan fatwa

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia harus dibincangkan dalam jawatankuasa fatwa negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia terlebih dulu.

Asyraf-Wajdi_zika_600
PUTRAJAYA:
Pandangan beberapa orang mufti yang wanita hamil dijangkiti virus Zika dibolehkan menggugurkan janin yang belum mencapai usia 120 hari, adalah pandangan bersifat individu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata perkara itu harus dibincangkan di peringkat jawatankuasa fatwa negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia terlebih dulu sebelum difatwakan.

“Ada pandangan yang disuarakan dan selagi pandangan itu belum bersifat fatwa kita tunggulah sehingga muzakarah membincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Mahkamah Syariah di sini hari ini.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan sebagai berkata tindakan menggugurkan janin boleh diambil jika janin yang kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya.

Pandangan itu turut dipersetujui Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad yang berpendapat pengguguran janin adalah harus jika risikonya disahkan pakar perubatan dan dengan persetujuan ibu dan bapa.

Susulan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan pandangan mufti tersebut bagi mencapai kata sepakat berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu dijangkiti virus Zika.

Mengenai MoU itu, Asyraf Wajdi berkata kerjasama itu melibatkan skop latihan, kajian dan penyelidikan dalam bidang perundangan serta kemudahan bagi menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran bagi kakitangan JKSM.

“Ini merupakan kerjasama mustahak dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan meneruskan agenda memartabatkan sistem kehakiman syariah negara,” katanya.

Pautan:

Gugur janin kerana Zika: Majlis fatwa perlu capai kata sepakat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.