Penduduk Johor jadi wanita mengandung pertama dijangkiti Zika

Penduduk Johor jadi wanita mengandung pertama dijangkiti Zika

Wanita mengandung itu menunjukkan simptom terlebih dahulu daripada suaminya yang bekerja di Singapura.

Subramaniam_zika_women
PUTRAJAYA:
Seorang wanita berusia 27 tahun dari Taman Desa Harmoni, Johor Bahru menjadi wanita mengandung pertama disahkan dijangkiti virus Zika di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, wanita yang mengandung tiga atau empat bulan itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Johor semalam, selepas mula mendapat gejala ruam, sakit badan dan demam.

Katanya, wanita itu kini dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut, termasuk kaunseling oleh doktor pakar perbidanan.

“Wanita itu menunjukkan simptom terlebih dahulu daripada suaminya yang bekerja di Singapura. Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian untuk mengetahui sama ada suami wanita itu turut dijangkiti Zika.

“Wanita itu diuji sebab menunjukkan simptom dan didapati positif Zika. Namun, kita masih menyiasat sama ada wanita itu dijangkiti Zika sebab gigitan nyamuk atau melalui hubungan kelamin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khamis lalu, Malaysia merekodkan kes pertama Zika apabila seorang wanita berusia 58 tahun dari Klang disahkan positif virus itu selepas balik dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

Ia disusuli kes kedua yang meragut nyawa seorang lelaki dari Taman Public Jaya di Likas, Sabah akibat komplikasi jantung pada Sabtu lalu.

Lelaki berusia 61 tahun itu adalah mangsa pertama jangkitan tempatan virus Zika.

Menurut Dr Subramaniam, hasil siasatan pihaknya mendapati, kali terakhir wanita mengandung itu melawat Singapura adalah enam bulan lalu, tetapi suaminya berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang.

Justeru, katanya, kawalan vektor dibuat serta-merta di Johor Bahru, termasuk kawasan kediaman wanita itu dan sehingga kini, 400 rumah diperiksa dan 450 premis disembur serta diambil tindakan sewajarnya.

Ditanya sama ada wanita berkenaan dibenarkan menggugurkan anak dikandungnya, beliau berkata: “Kita membenarkan pengguguran terapeutik perubatan, sekiranya nyawa ibu terancam hasil kandungannya. Sekiranya tidak, polisi semasa kementerian ialah tidak membenarkan ia dilakukan.”

Beliau turut menasihatkan wanita disahkan positif virus Zika mengelakkan daripada mengandung dan mengamalkan hubungan seks selamat sekurang-kurangnya lapan minggu daripada tarikh disahkan positif.

Bagi lelaki yang disahkan positif pula, Dr Subramaniam meminta mereka mengelakkan hubungan seks selama enam bulan atau menggunakan kondom.

Selain itu, katanya, pemantauan kementerian dari 1 hingga 6 September lalu mendapati, ada 30 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika, namun pemeriksaan darah dan air kencing menunjukkan keputusan negatif.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan, terutamanya di pintu masuk antarabangsa.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam memaklumkan, mesyuarat jemaah menteri hari ini memutuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan Jawatankuasa Majlis Kebersihan Persekitaran dalam masa terdekat.

Katanya, jawatankuasa itu akan berjumpa semua agensi kerajaan berkaitan untuk menyelaras aktiviti kawalan vektor dalam usaha membasmi pembiakan nyamuk Aedes bagi menangani penularan virus Zika.

Pautan:

Pesakit Zika di Sabah maut akibat komplikasi jantung

Wanita dari Klang pesakit pertama Zika di Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.