Muziknya cantik, saya pun joget, kata Wan Junaidi

Muziknya cantik, saya pun joget, kata Wan Junaidi

Menteri itu berpendapat perkara itu bukan sesuatu yang serius dan hanya reaksi spontan alunan muzik.

 

junaidi
PETALING JAYA:
Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilihat dalam sebuah klip video berjoget dengan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan beberapa menteri lain berkata ia berlaku secara spontan kerana muzik yang mengasyikkan.

“Bila muzik itu cantik, feel good, perasaan itu pun ada. Jadi, orang respon kepada muzik yang rancak. Itu sahaja, tiada apa-apa pun,” kata menteri sumber asli dan alam sekitar itu kepada FMT, selepas pelbagai pihak berkata tindakan Apandi menari tidak beretika.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak ingat sama ada Apandi terlibat sama.

“Saya tidak lihat tapi saya tahu ada empat atau lima menteri yang respon kepada muzik itu. Saya tahu itu, kerana saya sendiri goyang badan juga,” katanya.

Klip video tersebut dimuat naik Hanif Khatri, peguam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan Apandi bersama-sama beberapa menteri lain berjoget pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 di Dataran Merdeka, Selasa lalu.

Turut dicam dalam klip itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nancy Shukri, dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili.

Hanif berkata ia akan menjejaskan kemampuan Apandi membuat keputusan adil dalam siasatan ke atas mana-mana menteri.

Susulan itu, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara menggesa Apandi meletak jawatan dalam 24 jam.

“Sebagai peguam negara, beliau tidak patut menonjolkan hubungan rapatnya dengan ahli politik, menteri atau orang awam,” kata Khairuddin, yang menambah kelakuan itu salah dari segi etika kerana akan menghilangkan integriti jawatan beliau.

Wan Junaidi bagaimanapun berpendapat perkara itu bukan sesuatu yang serius.

“Tiada kaitan dengan etika dan kesalahan undang-undang. Kesemua yang ada di situ terpengaruh kepada muzik. Semua orang, termasuk saya sendiri.

“Jadi, saya tidak melihat apa-apa langsung. Mana-mana yang persoalkan benda itu jadi isu besar, pada saya dia sangat tidak sesuai,” katanya.

Katanya, ia berlaku sewaktu Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri dan timbalan perdana menteri berangkat meninggalkan majlis.

“Muzik itu dirancakkan supaya kita tahu walaupun VVIP sudah balik, acara masih belum habis lagi,” ujarnya.

Pautan:

Peguam negara menari dengan menteri: Beri penjelasan atau letak jawatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.