Dr Mahathir hadir di mahkamah bersalaman dengan Anwar

Dr Mahathir hadir di mahkamah bersalaman dengan Anwar

Kehadiran Dr Mahathir yang pernah menjadi seteru utama Anwar adalah pertama kali kedua-dua pemimpin hadir di tempat sama dalam tempoh 18 tahun.

mahathir-anwar
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan kepada bekas timbalan beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua pemimpin yang pernah bersama memimpin negara pada 1990-an itu dilihat bertegur sapa dan bersalaman.

Anwar-Mahathir

Pertemuan mereka merupakan yang pertama selepas genap 18 tahun dan 3 hari Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar dipecat Dr Mahathir pada 2 September, 1998 selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks. Pemecatan beliau mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir hari ini ditemani Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, ahli Parlimen PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Kamarudin Jaffar, dan bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Turut hadir ialah barisan peguam PKR, N. Surendren dan Latheefa Koya, di samping peguam Melissa Sasidaran, Eric Paulsen dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan.

Anwar, 68, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menuntut deklarasi Akta MKN tidak berperlembagaan dan terbatal serta perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.

Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Akta itu diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.