
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata generasi baharu lebih tersedia ke arah itu, berbeza daripada ulama “tradisionalis”.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Islamic Renaissance Front, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, yang kesal dengan sikap agamawan di negara ini gemar memetik hadis lemah dalam mempertahankan pandangan tidak masuk akal sehingga menjadikan mereka bahan sindiran ramai.
Maszlee bersetuju hal itu mungkin benar di kalangan golongan ulama tradisionalis disebabkan keterbatasan pengkajian dan buku rujukan pada zaman mereka.
“Walau bagaimanapun, bagi golongan agamawan muda, yang terdedah kepada rujukan yang lebih intensif dan pandangan yang berbeza, isu seperti ini agak kurang,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mempersoalkan istilah “rogol dalam perkahwinan” memetik sebuah hadis mengenai hak suami dalam hubungan seks, yang mewajibkan seorang isteri memenuhi permintaan suaminya walaupun sedang menunggang unta.
Kenyataan Harussani itu mengundang sindiran beberapa pertubuhan hak asasi yang minggu lalu menobatkan anugerah “Aiyoh Wat Lah” terhadap mufti itu kerana membuat kenyataan “hina intelek”.
Bagaimanapun, pendakwah Wan Ji Wan Hussin berkata hadis yang dipetik Harussani itu tergolong sebagai “daif” (lemah), iaitu kategori paling rendah dalam menilai kualiti dan kesahihan sesuatu hadis.
‘Usah tuduh’
Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Mahmood Zuhdi Abd Majid bagaimanapun mempersoalkan dakwaan Dr Farouk yang disifatkannya cuba menuding jari kepada semua golongan ulama.
“Pertama tuduhan itu terlampau umum, kalau dia kata secara umum ulama ini guna hadis lemah dan palsu dia kena jelaskan satu persatu hadis mana yang dia anggap lemah itu, kita orang akademik boleh semak, sama ada betul lemah atau tidak,” katanya kepada FMT.
Malah, Mahmood menyifatkan Dr Farouk seorang “liberal” yang cuba “menyalahkan semua orang… dia sahaja yang betul”.
“Kalau Mufti Perak guna hadis lemah dan sebagainya sepatutnya fokus kepada mufti itu sahaja, jangan kata ulama secara umum ini salah nanti orang lain yang tidak terlibat dipersalahkan sama.
“Saya nak nasihatkan dia (Dr Farouk) jangan cuba menwujudkan suasana perselisihan antara ahli ilmu. Kalau orang agama berfikiran liberal dan kutuk ulama, ia akan menunjukkan sikap yang tidak bagus di mata masyarakat,” tambahnya.
Sementara itu, Maszlee menganggap tindakan memberikan anugerah bersifat sindiran kepada Harussani sebagai keterlaluan.
“Mengapa tiada anugerah komen paling bodoh dan tidak logik diberikan kepada menteri dan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan bodoh dan menghina kepandaian rakyat?” soal beliau.
Perlu terdedah budaya lain
Katanya, menyindir Harussani hanya akan menimbulkan sikap “Islamophobia” dan juga menguatkan hujah golongan konservatif radikal bahawa agama Islam dan institusi Islam diancam bahaya.
“Ini merupakan tindakan yang counter-productive,” katanya.
Maszlee bagaimanapun bersetuju ulama perlu bersikap lebih terbuka, sesuatu yang boleh dihasilkan dengan pendedahan budaya lain.
“Kemampuan agamawan untuk menguasai bahasa ketiga dan keempat, keterlibatan dengan masyarakat berlainan agama ataupun pendedahan belajar di negara minoriti Muslim ataupun penguasaan disiplin ilmu keduniaan selain ilmu Islam yang mereka ada, akan membuatkan mereka lebih terbuka dan cermat di dalam memberikan pendapat.”
Katanya, ilmu pengajian hadis seperti Ulum Hadis perlu dipopularkan supaya dapat mengelak insiden berhujah dengan hadis tidak sahih dan tidak kuat.
Pautan:
‘Ulama kita gemar petik hadis lemah pertahan pandangan pelik’