
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, majikan atau ketua jabatan harus bertindak tegas dengan tidak menerima sijil cuti sakit palsu yang dipercayai dibeli memandangkan mereka mempunyai hak berbuat demikian.
“Mengemukakan sijil cuti sakit palsu bukan sekadar menjejaskan integriti seseorang individu, malah bagi penjawat awam, tindakan tatatertib seperti dibuang kerja juga boleh diambil.
“Begitu juga sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengetahui wujudnya aktiviti penjualan sijil cuti sakit palsu termasuk pengeluaran sijil cuti sakit oleh sindiket melalui atau tanpa transaksi dalam talian, boleh dilaporkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga kesal dengan perbuatan menjual sijil cuti sakit dalam talian secara terbuka kerana tindakan itu memberi impak negatif kepada negara dan isu-isu perundangan.
“Dari segi perundangan, sijil cuti sakit yang boleh diterima pakai hanyalah yang
dikeluarkan oleh seorang pengamal perubatan berdaftar selaras dengan Seksyen 27, Akta Perubatan 1971 (Akta 50) atau oleh seorang pengamal pergigian berdaftar selaras dengan Seksyen 26, Akta Pergigian 1971 (Akta 51).
“Tatacara pengeluaran sijil cuti sakit telah digariskan di bawah Code of Professional Conduct yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Majlis Pergigian Malaysia (MDC),” jelasnya.
Pengamal perubatan atau pergigian yang bertanggungjawab akan memeriksa pesakit dengan teliti dan hanya mengeluarkan sijil cuti sakit sekiranya didapati pesakit tersebut benar-benar tidak dapat menjalankan pekerjaan mereka.
Justeru, KKM menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan atau pergigian berdaftar di pusat jagaan kesihatan dan tidak menggunakan perkhidmatan penjualan sijil cuti sakit melalui talian.