
Radzi yang menyandang jawatan itu sejak April 2023 mencapai usia persaraan wajib 60 tahun pada awal bulan ini, dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dijangka mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk pelantikan baharu tidak lama lagi.
Sumber memberitahu FMT, empat calon yang sedang dipertimbangkan terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Dr Nor Fariza Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Nor Azimi Yunus, Ketua Pakar Bedah Jantung (Kardiotorasik) Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem, dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr R Harikrishna Nair.
Nor Fariza dan Nor Azimi kedua-duanya dijangka bersara tahun depan, manakala tempoh perkhidmatan Basheer dan Harikrishna masing-masing berbaki kira-kira lima tahun lagi.
Nor Fariza merupakan pakar perunding kanan oftalmologi dan kini mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Oftalmologi, Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
Basheer kini merupakan ketua perkhidmatan pembedahan kardiotorasik kebangsaan yang turut mengetuai Jabatan Pembedahan Kardiotorasik di Hospital Pulau Pinang. Beliau juga presiden semasa bagi Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Malaysia.
Harikrishna, seorang tokoh perintis dalam bidang penjagaan luka, memainkan peranan penting dalam kejayaan pelaksanaan pelan transformasi 365 hari HKL, manakala Nor Azimi, dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas, efektif dan cekap dalam membuat keputusan, mendapat pengiktirafan meluas atas dasar-dasar berimpak tinggi yang diperkenalkannya semasa menjadi pengarah kesihatan Terengganu.
Ketua pengarah kesihatan yang baharu nanti perlu berdepan dengan pelbagai cabaran berlarutan yang membelenggu sektor kesihatan awam.
Antaranya, isu pengiktirafan pakar menerusi laluan ‘parallel’, doktor kontrak, tempoh kerja 45 jam seminggu bagi jururawat wad, dan fenomena penghijrahan doktor serta jururawat meninggalkan perkhidmatan kerajaan.