Lagu patriotik zaman dulu lebih memukau

Lagu patriotik zaman dulu lebih memukau

Penyanyi, Roy dan Dr Sam berkata lagu patriotik perlu menggunakan rentak march yang lebih pantas dan perubahan zaman menyebabkan masyarakat tidak lagi mendengar lagu patriotik.

roy-dr-sam
PETALING JAYA:
Meskipun lagu patriotik masih ditulis dan dirakamkan, yang terus melekat di minda kebanyakan rakyat Malaysia hingga kini ialah lagu dari zaman 1980-an dan 1990-an, termasuk lagu patriotik seperti “Saya Anak Malaysia” dan “Sejahtera Malaysia”.

FMT menemu bual 2 penyanyi lagu patriotik untuk mendapatkan pandangan mereka mengapa kebanyakan rakyat Malaysia nampak lebih gemar lagu dari zaman dulu.

“Lagu lama ada rentak ‘march’ yang kuat,” kata Mohammed Rauzan Alwi, atau lebih popular dengan nama Roy.

“Mungkin kerajaan sekarang mahu menarik generasi muda dengan rentak balada atau genre moden yang digemari anak muda hari ini, tetapi anda perlu cipta lagu dengan rentak march yang tegas. Itu karakter utama dalam lagu patriotik.

“Lagu patriotik dulu juga lebih ringkas dan mudah diingat dan dibina hingga ke puncak, sama ada dalam melodinya atau lirik,” katanya.

Pada 1990-an, Roy sering tampil dalam siaran di RTM menyanyikan lagu patriotik seperti “Malaysiaku Gemilang”, “Perpaduan Teras Kejayaan” dan “Wawasan 2020”.

Terkini, beliau banyak membuat persembahan dalam majlis makan malam dan melatih pasukan koir di kolej. Beliau juga mengendalikan kelas vokal untuk kumpulan paduan suara dan individu serta menjadi pensyarah jemputan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Komposer dan penyanyi utama lagu “Saya Anak Malaysia”, Salim Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Dr Sam Rasputin berkata perubahan dalam industri muzik menyebabkan pendedahan kecil untuk lagu patriotik yang baharu.

“Artis tidak lagi keluar dengan album dan sebaliknya memasarkan muzik mereka menerusi Internet seperti laman web YouTube dan SoundCloud.

“Jadi, daripada keluar dengan satu album mengandungi banyak lagu, mereka terpaksa bersaing di pasaran dengan hanya satu atau dua single, yang perlu cukup bagus untuk menarik perhatian penonton. Dan anda tidak boleh buat begitu kepada lagu patriotik. Anda buat begitu dengan lagu cinta,” katanya.

Akibatnya ialah, Dr Sam berkata lagu patriotik tidak mendapat tempat diketengahkan.

“Orang muda hari ini tidak mahu dengar lagu patriotik. Mereka juga tak mahu dengar lagu Melayu lagi.

“Masa zaman 1980-an dan 1990-an, masanya tepat kerana ada generasi yang sayang negara mereka,” katanya.

Pada zaman kegemilangannya, Dr Sam terkenal sebagai peminat reggae dan sering dilihat dalam pakaian ala Rasta. Beliau kini aktif dalam gerakan Tablighi Jamaat dan banyak mengadakan ceramah agama. Beliau juga membuka kedai menjual produk kesihatan tradisional dibuat daripada habbatus sauda di Taman Bukit Indah.

Tablighi Jamaat ialah gerakan kebangkitan Islam yang fokus mendesak umat Islam kembali kepada Islam Sunni ortodoks, terutama dalam perkara seperti ritual, pakaian dan tingkah laku peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.