
Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim mengakui individu dalam video yang dirakam secara rahsia itu adalah bapanya yang berusia 68 tahun.
“Ada video yang tersebar di media sosial mendakwa bapa saya meminta wang daripada pengadu yang mahu mendapatkan rumah kos rendah dan kos sederhana.
“Nama saya disebut atas tuduhan salah guna kuasa. Saya ingin tegaskan bapa saya tidak mampu mempengaruhi keputusan Kerajaan Pulau Pinang. Saya juga tidak mampu.
“Serangan Gerakan itu tidak berasas,” katanya di satu sidang media tergempar di pusat khidmat masyarakat di Jelutong hari ini.
Siew Khim menggambarkan kempen memburukkan namanya oleh Gerakan, dengan mendakwa naib pengerusi parti itu, Oh Tong Keong beriya mahu bertanding di kerusi DUN Sungai Pinang pada pilihan raya akan datang.
“Saya nasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis sekiranya ada cubaan meminta wang untuk membantu mereka mendapatkan perumahan awam dan polis digesa siasat.
“Sekali lagi saya ulang saya tidak lakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Siew Khim nafi tahu bapanya terbabit dalam kegiatan yang didakwa itu.
Awal hari ini, Gerakan menyeru Siew Khim dan Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo menjawab kewujudan kegiatan seperti itu.
Satu video dimuatnaik laman Facebook Penang Kini memaparkan seorang lelaki, yang didakwa bapa Siew Khim, Keat Seong, bersama seorang broker dan seorang pembeli rumah yang ‘diperdaya’ berbual mengenai syarat-syarat penyelesaian selepas gagal membeli sebuah rumah.
Menurut video itu, mereka yang berminat untuk ‘ambil jalan pintas’ dalam skim program rumah mampu milik kerajaan, perlu mmebayar RM260 untuk borang dan duit untuk ‘Pakcik Lim’, yang akan memastikan mereka mendapat seunit rumah.
Sedia ada, semua permohonan perumahan kerajaan negeri disaring oleh Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pemilihan (SPEC) yang akan menentukan kelayakan pemohon.
Antara faktor yang dipertimbangkan adalah pendapatan, jumlah anak dan jumlah kereta yang dimiliki sebelum pemohon diberi seunit rumah.
Menurut kerajaan negeri, bagi bulan April sahaja terdapat 35,229 pemohon dalam senarai menunggu rumah mampu milik.
‘Perumahan rumah mampu milik’ adalah harga bawah RM400,000 untuk unit di pulau dan RM250,000 untuk unit di tanah besar.
Sementara itu, penasihat undang-undang Siew Khim, RSN Nayer beri amaran kepada Gerakan supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan terhadap Adun itu atau disaman kerana memfitnah.
“Sekiranya mereka beri gambaran seolah YB Siew Khim terbabit, kami tidak akan teragak untuk mengambil tindakan undang-undang,” kata Rayer.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan bapa, Siew Khim menjawab: “Saya tak tahu menahu, saya hanya tahu mengenai hal ini malam tadi.”
Rayer mencelah: “Bapanya mungkin berada disitu untuk tujuan lain. Beliau seorang dewasa dan bebas untuk bergerak serta bertemu orang.”
Siew Khim, ditemani ibunya, kelihatan menangis teresak-esak sebaik meninggalkan sidang media itu.