Perang Malaysia terhadap dadah tak berkesan, kata Zaman Khan

Perang Malaysia terhadap dadah tak berkesan, kata Zaman Khan

Bekas pengarah CID itu berkata hukuman berat terhadap penagih akan hanya memburukkan isu itu.

zaman-khan
KUALA LUMPUR: Peperangan terhadap dadah tidak berkesan dalam mengekang masalah ketagihan dalam masyarakat kerana undang-undang sedia ada tidak cukup holistik untuk menangani gejala sosial yang semakin teruk, kata bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (CID) Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan.

Dalam temu bual eksklusif, Zaman memberitahu FMT pendekatan lebih kemanusiaan diperlukan ketika berurusan dengan penagih, kerana hukuman keras tidak akan berjaya memulihkan mereka.

“Beritahu saya, kenapa anda rotan penagih dadah? Anda fikir dengan merotannya, dia akan tinggalkan dadah? Penagih itu sakit dan selepas rotan, dia mungkin akan jadi lebih berdendam.

“Sebaliknya, layan dia seperti orang sakit. Anda mungkin tidak mahu beri dia rawatan kelas pertama, tapi jangan kurung dia dalam lokap dan mula menyebatnya.

“Mungkin letak penagih di wad kelas tiga di hospital dengan cadar yang bersih, tetapi jangan cemuh mereka. Saya fikir di sini rakyat Malaysia perlu buka mata luas-luas,” katanya.

Zaman, 78, berkata demikian ketika mengingat kembali era memerangi jenayah dadah.

Dia menceritakan adik lelakinya juga meninggal dunia kerana terlebih mengambil dadah beberapa tahun lalu.

“Saya bercakap mengenai perkara ini bukan kerana penagih lain, tetapi kerana keluarga saya sendiri terjejas dengan dadah. Adik saya mati kerana mengambil dadah berlebihan dan seorang lagi saudara meninggal dunia akibat HIV,” katanya.

Beliau berkata dadah sepatutnya menjadi “musuh nombor satu” negara, tetapi iklan mengenai pencegahannya sangat kurang.

“Ketika saya di Thailand, saya nampak papan tanda besar menyatakan ketum bahaya di Thai, dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Sementara di Malaysia, kita tidak ada papan tanda seperti itu lagi, dan kita pula pengeluar ketum,” katanya.

Zaman berkata kerajaan perlu mengambil pendirian lebih kukuh dalam memerangi ketagihan dadah dan pada masa sama mempertimbangkan elemen kemanusiaan.

“Hakim juga perlu diberikan kelonggaran untuk mempertimbangkan dan mencadangkan hukuman yang lebih kemanusiaan.

“Sudah tentu saya tidak mahu orang kita terbunuh hanya kerana syak dan curiga. Ia perlu dibuktikan, bukan seorang orang patut dibunuh,” katanya.

Sementara itu, Zaman tidak bersetuju dengan membenarkan penggunaan ganja, dengan berkata ia boleh mendorong kepada masalah sosial yang lebih besar dalam negara.

“Mereka masih belum dapat membuktikan yang marijuana menyebabkan ketagihan dan bahaya seperti dadah lain, tetapi kenapa halalkan marijuana? Orang boleh hidup tanpa kebenaran undang-undang.

“Selagi saja ia dibenarkan, ia mungkin akan menyebabkan masalah lebih besar.

“Di Eropah sekalipun, kita dapat lihat kebenaran undang-undang terhadapnya menyebabkan banyak masalah sosial di sana,” katanya.

Zaman berkata pencegahan sepatutnya menjadi tema utama dalam memerangi dadah, di mana kerajaan patut memperuntukkan lebih banyak dana untuk membolehkan pegawai bercakap kepada golongan muda.

“Saya percaya kita patut mengeluarkan dana lebih banyak untuk melatih lebih ramai pegawai bercakap mengenai pencegahan dadah.

“Jika saya ada masa dan tenaga, saya akan beritahu orang muda jauhi dadah. Kerana sekali anda tersangkut, anda habis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.