
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman 4 lelaki itu bermula hari ini sehingga Ahad.
Selain pengarah urusan bank berusia 48 tahun itu dan bekas pegawainya, 2 lagi ialah seorang pengarah syarikat penerbitan buku dan seorang pegawainya.
Semalam SPRM menahan 8 individu berumur antara 32 dan 48 tahun antara jam 2 petang sehingga tengah malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.
Hari ini 8 individu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan 4 ditahan reman manakala 4 lagi yang terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu dibebaskan.
Dalam serbuan itu SPRM merampas 6 jam tangan mewah setiap satu berharga RM20,000 dan wang tunai RM30,000 daripada pengarah urusan bank itu.
Semalam, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pengarah urusan bank itu ditahan di pejabatnya di ibu negara hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah.
“Dia dipercayai terlibat dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
“Sebanyak RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan milik orang yang mempunyai kepentingan dengan Datuk tersebut namun sehingga kini tiada sebarang buku yang diterbitkan,” katanya.
SPRM juga memperoleh perintah tahanan reman selama 5 hari terhadap seorang pengurus projek, dan seorang pengurus sebuah syarikat cari gali minyak dan 6 kontraktor bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi projek “pipeline” berjumlah RM76 juta.
Majistret Nik Isfahanie mengeluarkan perintah reman itu bermula hari ini sehingga Selasa ini.
Lima lelaki dan 3 wanita dalam lingkungan umur 35 tahun dan 60 ditahan berasingan semalam oleh SPRM di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan “pipeline” di selatan tanah air itu.