Pekerja diberhentikan majikan menerusi pesanan SMS

Pekerja diberhentikan majikan menerusi pesanan SMS

Keadaan ekonomi memaksa beberapa syarikat memberhentikan pekerja, dan ada yang diberikan alasan lain oleh majikan.

buang-kerjA
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan menceritakan bagaimana beliau tiba-tiba hilang mata pencarian dengan hanya beberapa perkataan yang dikirimkan majikan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Lelaki berumur 55 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad itu berkata beliau terkejut dengan notis 24 jam yang diterima dalam telefon bimbitnya.

“Pada mulanya syarikat memberitahu saya digantung kerja kemudian akan dihantar bertugas ke tempat lain. Akhir sekali syarikat memutuskan saya dibuang kerja,” katanya kepada FMT.

Keadaan ekonomi memaksa beberapa syarikat memberhentikan pekerja, yang terbaru Tesco Malaysia yang mengumumkan mahu mengurangkan lebih 600 stafnya.

Kekerapan pembuangan pekerja itu menyebabkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam menggesa kerajaan mewujudkan tabung pemberhentian pekerja khas, bagi menguruskan pekerja yang terkesan termasuk mereka yang tidak menerima gaji.

Statistik menunjukkan jumlah pekerja diberhentikan pada 2014 ialah 25,917, dan bertambah kepada 38,499 pada 2015.

“Sekiranya penubuhan tabung ini berjaya dilaksanakan, Malaysia akan jadi negara ke-9 menerima bantuan kerajaan dalam menerima sumbangan terhadap individu yang dibuang kerja atas alasan syarikat bankrap,” kata Ketua PSM Rawang, Mohd Mazwan Mansor, semalam.

Ahmad berkata majikannya memberi alasan dia tidak menerima tapisan kawalan daripada Kementerian Dalam Negeri, iaitu syarat kelayakan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Saya merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), mana mungkin alasan sebegini digunakan?,” soalnya.

Bekas pekerja kilang roti High 5, Rosnizam Abu Said memberitahu syarikat berkenaan masih belum melangsaikan bayaran gaji terhadap para pekerjanya.

“Mereka janji nak bayar tapi sehingga kini saya dan rakan-rakan belum terima sebarang bayaran.

“Syarikat masih berhutang gaji untuk Julai. Itu tidak termasuk komisyen serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga tertunggak selama 7 bulan,” katanya.

Bekas penyelia itu bagaimanapun bersyukur kerana kini diterima bekerja di syarikat Faiza Marketing sebagai eksekutif jualan.

“Selepas saya keluar di beberapa media mendedahkan isu ini, saya sukar diterima di beberapa syarikat.”

PAUTAN: 

PSM desak kerajaan bantu tubuh tabung pemberhentian kerja

Selepas protes, staf AAM persoal hanya terima gaji sebulan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.