Chong Wei tidak gembira tewaskan Lin Dan kerana ia bukan final

Chong Wei tidak gembira tewaskan Lin Dan kerana ia bukan final

Chong Wei berkata, kemenangan ke atas Lin Dan membuktikan beliau hanya berjaya mengatasi diri, iaitu kalahkan musuh tradisinya itu dalam pertandingan besar.

Lee chong wei
PETALING JAYA:
Walaupun berjaya menewaskan Lin Dan di Olimpik Rio dan menjadi kebanggaan negara, Datuk Lee Chong Wei bagaimanapun tidak gembira kerana ia bukannya perlawanan final.

Oriental Daily memetik Chong Wei yang ditemubual portal berita QQ.com sebagai berkata, beliau hanya fikir hendak “menikmati Olimpik” sebelum pergi ke Brazil, tetapi selepas jadual perlawanan diumumkan, barulah beliau tahu bakal bertemu Lin Dan sebelum aksi final.

“Selepas tewaskan Lin Dan, saya bukannya gembira sangat kerana ini bukan final, saya hanya berjaya mengatasi diri, iaitu kalahkan Lin Dan dalam pertandingan besar.

“Kualiti psikologi Lin Dan lebih baik berbanding saya, beliau pernah memenangi semua gelaran juara. Ketika berlawan untuk Piala Thomas, barulah saya ubah mentaliti secara perlahan-lahan, tidak bawa bersama beban ke setiap perlawanan.

“Ada orang kata ‘Lee Chong Wei kalah, Malaysia juga tewas’. Saya harap dalam perlawanan Piala Thomas akan datang, rakan sepasukan boleh berkongsi tekanan saya,” katanya.

Chong Wei mara ke final selepas menundukkan Lin Dan dalam peringkat separuh akhir dengan keputusan 15-21, 21-11 dan 22-20, untuk menebus kekecewaan pada Olimpik 2012 di London, tetapi tewas kepada Chen Long dari China dengan keputusan 18-21 dan 18-21.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, pasangan beregu lelaki dan beregu campuran negara boleh mara ke pusingan final kerana mereka mempunyai mentaliti yang baik.

“Mereka tidak fikir begitu banyak, hanya bersandarkan sikap berjuang habis-habisan, mereka bermain lebih baik daripada perlawanan sebelum ini.

“Khasnya tiada permintaan khusus yang terlalu tinggi untuk gandingan beregu campuran, boleh beraksi adalah galakan terbesar bagi mereka,” katanya.

Sementara itu, syarikat pembinaan Orando Holdings menghadiahkan sebuah kondominium mewah berharga RM1.5 juta di Taman Maluri, Cheras, kepada Chong Wei sebagai galakan terhadap kejayaannya memenangi pingat perak di Olimpik Rio.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Eng Wei Chun yang dipetik Oriental Daily dan China Press berkata, syarikatnya menghadiahkan satu unit kediaman seluas 1,100 kaki persegi di Kondominium Lavile yang dijangka siap dibina dalam masa empat tahun.

Beliau berkata, semangat kental dan berjuang Chong Wei disanjungi peminat serta ramai pemain badminton terkenal di seluruh dunia yang menyaksikan beliau berjaya mencipta legenda dalam sukan badminton.

Katanya, Orando juga akan mempertimbangkan pembinaan gelanggang badminton yang akan dinamakan “Dewan Badminton Lee Chong Wei”.

Sabtu lalu, beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong masing-masing dihadiahkan sebuah rumah bernilai lebih RM1 juta daripada penaja mereka, JL99 Group atas kejayaan meraih pingat perak pada Olimpik Rio minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Jeff Lee menerusi Facebook syarikat pemaju perumahan itu memaklumkan rumah mewah itu terletak di Lakepark Residence, Pusat Bandar Utara di pinggir ibu negara.

Selain rumah, Chong Wei turut mendapat ganjaran RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala V Shem dan Wee Kiong akan berkongsi ganjaran RM300,000 serta pencen bulanan RM3,000 seorang sebagai hadiah di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara untuk Olimpik, selain sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium sumbangan DRB-Hicom kepada pemenang pingat perak di Olimpik Rio.

Chong Wei akhiri kempen Olimpik dengan pingat perak

Chong Wei lunas dendam 4 tahun, Malaysia mara ke akhir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.