
Ini kerana, kakitangan tersebut hanya menerima tunggakan bagi bulan Mei manakala baki tiga bulan masih tidak berbayar dan ekoran itu mereka masih dalam belenggu hutang yang belum diselesaikan.
Dalam pada itu, pengurusan AAM pula berjanji melunaskan baki gaji tertunggak secara berperingkat pada masa akan datang.
Pekerja AAM yang ditemui, Mohamad Tajuddin Jailani, 48 akui bayaran gaji sebulan tidak membantu beliau meluaskan hutang pinjaman bank yang tertunggak sejak empat bulan.
“Mereka hanya bayar tunggakan gaji bulan Mei, pada 18 Ogos lepas, manakala baki tiga bulan gaji masih belum dijelaskan dan kami buntu jika baki tersebut akan dibayar atau sebaliknya.
“Kami tidak berpuas hati,” katanya ketika dihubungi FMT.
Ketidakpuasan sama disuarakan Saiful Sallehuddin, 43 yang mendesak pihak pengurusan AAM supaya membayar gaji secara penuh.
“Ini menyebabkan segelintir kakitangan masih belum mampu membayar ansuran bulanan kereta dan sewa rumah. Kami juga mendapati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibayar AAM,” katanya.
Saiful turut kesal dengan langkah syarikat itu yang hanya membayar tunggakan gaji kepada kakitangan AAM yang masih berkerja manakala mereka yang telah lama berhenti tidak dibayar.
“Ini tidak adil kerana mereka juga ada hak untuk menerima gaji tertunggak milik mereka,” katanya.
Krisis syarikat penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kereta di seluruh negara yang beroperasi sejak 1932 itu wujud selepas berdepan masalah kewangan sehingga tidak mampu membayar gaji kepada 300 pekerja sejak empat bulan lalu.
Masalah ini bertambah serius apabila mereka juga dikatakan tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak hampir setahun yang lalu.
Pengerusi AAM Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dalam satu kenyataan, memberi jaminan melunaskan semua gaji tertunggak secepat mungkin.
Sementara itu, Setiausaha PSM, A.Sivarajan ketika dihubungi FMT mengesyaki wujud kepincangkan dalam AAM apabila mereka tidak mampu menjelaskan kesemua tunggakkan gaji perkerja.
“Oleh itu, kita berharap Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTM) bersama pengurusan AAM serta kakitangan yang dinafikan hak gaji berunding bersama bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.
“Janji AAM melunaskannya secara berperingkat baki gaji tertunggak tidak menjamin pekerja terbabit akan mendapat gaji. Oleh itu saya sarankan pihak JTM dan AMM serta kakitangan bersemuka dan membuat perjanjian agar mereka akan dibayar gaji,” katanya.
4 bulan AAM didakwa tak bayar gaji, pekerja ditarik kereta, dihalau rumah