Ku Nan, jangan masuk politik kalau takut isytihar harta

Ku Nan, jangan masuk politik kalau takut isytihar harta

Ahli Parlimen Sungai Siput saran Ku Nan jadi ahli perniagaan atau rakyat biasa saja supaya tiada sesiapa akan memintanya mengisytiharkan harta.

Jeyakumar-Devaraj-adnan
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj menggesa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meletakkan jawatan sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan ahli Parlimen sekiranya takut mengisytiharkan harta kepada rakyat.

Dr Jeyakumar berkata lebih baik Tengku Adnan yang popular digelar Ku Nan itu menjadi ahli perniagaan atau rakyat biasa kerana tiada sesiapa akan memintanya mengisytiharkan harta.

“Jika mahu menjadi ahli Parlimen, mesti bersedia untuk isytiharkan harta. Jika kamu takut janganlah jadi ahli Parlimen.

“Sila berundur dan jadi orang biasa atau ahli perniagaan kerana tiada sesiapa akan meminta supaya isytiharkan harta melainkan proses pembayaran cukai saja,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata kenyataan Ku Nan yang bimbang anak dan isteri diculik jika mengisytiharkan harta hanyalah alasan untuk mengelak berbuat demikian.

“Ini (isytiharkan harta) boleh menjadi alasan untuk sesiapa berkata demikian. Saya ingat dalam negara demokrasi matang, semua harus isytiharkan harta,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Jeyakumar meminta rakyat bijak menilai dan memilih calon untuk mewakili mereka dan mengenakan syarat kepada calon bertanding agar berani mengisytiharkan harta.

Ku Nan berkata beliau sudah membuat pengisytiharan tahunan kepada perdana menteri manakala Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz membuat pengisytiharan aset kepada ketua setiausaha negara.

Sebelum ini, Dr Jeyakumar mengaku harta beliau tidak bertambah sejak menjadi ahli Parlimen Sungai Siput pada 2008 sehingga penghujung 2015.

Beliau bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bertekad mahu membawa perubahan dalam politik dengan membuat pengumuman harta kepada rakyat setiap tahun sejak 2008

 

Pautan:

Ku Nan: Keluarga saya mungkin diculik, jika isytihar harta

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/12/09/harta-saya-tidak-bertambah-sejak-jadi-ahli-parlimen-dr-jeyakumar/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.