Madrasah nafi promosi militan IS sebagai syahid

Madrasah nafi promosi militan IS sebagai syahid

Abang kepada Mohd Lotfi Ariffin, pengganas IS yang maut, berkata sekolah agama yang diasaskan bersama adiknya itu tidak mengajar pelajarnya jadi militan.

Madrasah-Nurul-Hidayah
PETALING JAYA:
Mohd Zainon Ariffin, abang kepada pejuang IS Mohd Lotfi yang terbunuh di Syria dua tahun lalu, menafikan dakwaan sekolah agamanya mempromosikan adiknya itu sebagai syahid.

Zainon berkata Madrasah Nurul Hidayah tidak mengajar pelajarnya menjadi militan, lapor The Star.

“Kami tidak buat seperti itu. Kami malah tidak tahu apa itu IS,” katanya kepada akhbar itu, menafikan laporan disiarkan The New York Times tahun lalu, yang sekolah agama itu mempromosikan Lotfi yang juga pengasas bersamanya, sebagai syahid.

Zainon berkata apa yang diketahuinya mengenai kumpulan pengganas itu diperoleh daripada pelbagai laporan berita.

Beliau juga tidak mahu bercakap mengenai adiknya, meminta media untuk membiarkan perkara lepas terus berlalu.

“Jika saya cakap lagi, ia mungkin membuka luka lama dan menyedihkan keluar saya,” katanya dipetik daripada The Star.

Lotfi, bekas ahli PAS, meninggal dunia selepas cedera parah dalam serangan pasukan tentera kerajaan Syria pada 2014 yang turut menyebabkan seorang lagi pejuang dari Malaysia, Mohammad Fadhlan Shahidi maut.

Pada masa itu, kedua-duanya dan seorang lagi warganegara Malaysia dilaporkan berjuang untuk Ajnad al-Sham, sebuah kumpulan pemberontak yang beroperasi berhampiran ibu kota Damascus dan menjarakkan diri daripada lebih banyak kumpulan militan, termasuk IS dan Nusra Front yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Temu bual The Star dengan Zainon turut mendedahkan kebanyakan suspek yang ditahan berhubung serangan bom di kelab Movida di Puchong pada 28 Jun yang dikaitkan dengan IS itu, berasal dari Kedah.

Ketika diminta mengulas mengenai peningkatan suspek militan dari Kedah, Zainon berkata beliau sedih dan menjelaskan Tuhan tidak membenarkan seseorang itu berperang atas nama bangsa atau kebanggaan.

“Tugas kita ialah saling membantu sesama insan. Hanya dengan cara itu kebaikan Islam dapat ditunjukkan kepada bukan Islam,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.