Lebih 80% kes sivil, jenayah diselesaikan Mahkamah Majistret/Sesyen

Lebih 80% kes sivil, jenayah diselesaikan Mahkamah Majistret/Sesyen

Kejayaan itu adalah disebabkan permintaan yang tinggi di dalam industri perdagangan supaya sesuatu pertikaian perdagangan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

arifin
KUALA LUMPUR:
Kejayaan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di beberapa buah negeri menyelesaikan lebih 80 peratus kes sivil dan jenayah sehingga Mei tahun ini menunjukkan tahap kecekapan badan kehakiman dan sekali gus mampu meningkatkan keyakinan orang awam terhadap institusi itu.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata kejayaan itu adalah disebabkan permintaan yang tinggi di dalam industri perdagangan supaya sesuatu pertikaian perdagangan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk kes sivil dan jenayah kedua-duanya mencatatkan peratusan yang tinggi (penyelesaian kes), juga beberapa negeri lain, tetapi bagi Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang masih berada di bawah 80 peratus.

“Mungkin ada sebab-sebab tertentu dan kita ambil maklum tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman 2016 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Persidangan yang bertemakan ‘Towards Judicial Excellence’ itu turut dihadiri Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Datin Latifah Mohd Tahar.

Arifin berkata antara perubahan besar yang telah dilakukan oleh badan kehakiman Malaysia dalam mempertingkatkan kadar kecekapan pelupusan kes mahkamah adalah melalui pengenalan tempoh masa (timeline) untuk penyelesaian kes.

Selain itu beliau turut menggesa pegawai kehakiman untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami dan mentafsir undang-undang dengan lebih berkesan dan seterusnya dapat memutuskan kes dengan lebih adil.

Katanya walaupun bahasa kebangsaan diiktiraf sebagai bahasa mahkamah, tetapi kepentingtan Bahasa Inggeris dalam bidang kepeguaman tidak boleh dinafikan kerana sebagai sebuah negara yang mewarisi sistem undang-undang British Common Law, pengusaan Bahasa Inggeris tidak boleh diketepikan.

“Kita nampak penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pegawai-pegawai kita telah menurun, kita cuba tangani masalah ini dengan mengadakan in house training yang dijalankan oleh hakim-hakim dan kita juga mengundang penceramah dari British Council dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Arifin menjangkakan keputusan mengenai cadangan pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah bakal diketahui hujung tahun ini.

Kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) untuk dipertimbangkan.

Katanya pengasingan kuasa itu penting bagi mengelak konflik kepentingan dan mengikis pandangan negatif masyarakat terhadap kebebasan institusi itu.

“Hakim mahkamah sesyen dan majistret masih dilantik oleh SPKP, tetapi ketua pendaftar mahkamah persekutuan Malaysia akan menjadi ketua bahagian kehakiman, manakala bahagian perundangan diketuai oleh Peguam Negara.

“Sekarang ini bahagian perundangan dan kehakiman diletak di bawah ketua yang sama iaitu Peguam Negara, jadi nampak conflict of interest kerana beliau di pihak pendakwaan macam mana pula boleh jadi ketua dalam bahagian kehakiman,” katanya.

Beliau berkata walau pun diasingkan tetapi SPKP kekal sebagai sebuah suruhanjaya dan perubahan yang dicadangkan adalah dari aspek pentadbiran sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.