Ibrahim Ali sindir nafsu Umno Kelantan terlebih kuat

Ibrahim Ali sindir nafsu Umno Kelantan terlebih kuat

Umno Kelantan jangan fikir kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jadi tanda aras sokongan rakyat pada BN di seluruh negara, katanya.

Ibrahim-Ali_umno_kelanatan_600
KUALA LUMPUR:
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menganggap gesaan Umno Kelantan supaya PAS Kelantan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri adalah gesaan lucu dan nakal.

Ibrahim berkata gesaan itu diibaratkan seperti nafsu Umno Kelantan melonjak naik setelah mendapati Pulau Pinang akan mengadakan PRN mengejut.

“Gesaan nafsu yang tidak sepadan dengan keupayaan dan kemampuan.

“Ia ibarat lelaki yang belum pulih tenaga batin, belum dapat izin isteri pertama sudah tekad untuk tambah isteri kedua sekali gus. Sungguh luar biasa nafsu seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata politik nasional ketika ini dalam keadaan kacau bilau.

Malah, katanya Umno Kelantan jangan fikir kemenangan di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi tanda aras sokongan rakyat pada BN di seluruh negara.

“Waktu BN kuat dan menang seluruh negara, PAS tetap menang di Kelantan. Lupakah pada sejarah, apatah lagi sekarang ini isu GST, 1MDB dan lain-lain,” katanya.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata corak politik rakyat Kelantan berbeza dengan di negeri lain kerana mereka mengundi berdasarkan perkembangan politik nasional.

“Ratusan ribu rakyat Kelantan berada di Lembah Klang, sebab itu mereka dipengaruhi isu nasional.

“Umno Kelantan akan kalah apabila anak Kelantan di perantauan pulang mengundi kerana rakyat Kelantan tidak kisah ada pembangunan atau tidak,” katanya.

Katanya, perjalanan Umno Kelantan juga masih jauh untuk menumbangkan PAS memandangkan kewujudan Amanah tidak memberi sebarang kesan.

“Apakah jentera BN sudah siap siaga untuk bertempur atau mahu berlawan ikut nafsu yang tak cukup tenaga,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam laporan Sinar Harian dipetik sebagai berkata beliau menyarankan DUN negeri itu dibubarkan lebih awal.

Katanya, kemelut dan ketidaksepakatan dalam kalangan pemimpin PAS dapat dilihat dengan jelas hingga menjejaskan kepercayaan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.