Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan di kementerian ketika ini adalah penamanam tanaman kontan yang dibenarkan undang-undang di ladang-ladang seperti ladang getah.
“Kita memang menggalakkan tanaman tambahan di ladang getah seperti cendawan, tetapi tidak pernah kita sebut ketum,” katanya kepada pemberita seusai merasmikan seminar Gagasan Pemikiran Tun Abdul Razak di Dewan Lestari, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin Selasa lepas memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.
Menurut Zahidi, ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan boleh dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana terdapat permintaan tinggi dari farmasi di sana.
Meskipun begitu, Ismail mengingatkan penjualan air ketum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan penanamannya secara besar-besaran perlu diteliti secara mendalam.
“Saya kena dapatkan laporan dulu, sebab perkara ini tidak dibincangkan di pihak kementerian. Saya tak boleh komen sebab saya tidak tahu,” tambahnya.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi menggesa kajian terperinci dilaksanakan sebelum ketum dibenarkan untuk ditanam secara komersial.
Ini kerana kefahaman dan penguatkuasaan menyeluruh adalah perlu bagi mengekang penyalahgunaan ketum yang boleh memudaratkan kesihatan jika tidak dikawal.
Sementara itu, polis berkata cadangan penanaman ketum secara komersil mengulangi kesilapan Segi Tiga Emas Asia Tenggara, yang pada awalnya merupakan ladang tananam papaver somniferum (popi candu) bagi tujuan perubatan, tetapi akhirnya menjadi pengeluar candu dadah dunia.