Perlis tewaskan JDT tetapi kesal pemain dibuang padang

Perlis tewaskan JDT tetapi kesal pemain dibuang padang

Pengadil sepatutnya memberi kad kuning pertama kerana merupakan kesalahan pertama, kata Dollah Salleh.

dollah-saleh_perlis_600

KANGAR:
Biarpun berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT) 1-0, Perlis nyata kecewa dengan mutu pengadilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, semalam.

Pengendali Skuad Singa Utara, Dollah Salleh mendakwa tindakan pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah kepada pemain import Perlis, Mohamadou Sumareh selepas menjatuhkan pemain JDT, Muhd Shahrul Mohd Adnan pada minit ke-82 adalah tidak wajar sama sekali.

Kata Dollah, Nazmi sepatutnya memberi amaran keras atau kad kuning pertama kerana itu merupakan kesalahan pertama Sumareh.

“Saya kecewa dan tak faham dengan keputusannya melayangkan kad merah kepada Sumareh.

“Dari pengamatan saya, tindakan beliau memang keterlaluan kerana Sumareh tidak bersikap melampaui batas,” katanya.

Meskipun kecewa dengan keputusan kontroversi itu, Dollah tetap memuji aksi anak buahnya yang memberi komitmen jitu pada perlawanan menentang pelawat.

Dollah berkata Sumareh terpaksa direhatkan dua perlawanan namun masih belum memikirkan siapa yang bakal mengisi kekosongan penyerang berkenaan kerana ingin menumpukan persediaan perlawanan seterusnya.

Perlis bakal bertemu Melaka untuk perlawanan seterusnya di Stadium Hang Jebat, Selasa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.