Pengasas Mon Space Group itu mendedahkan dua surat rasmi daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang memberi kebenaran kepada Suasa Air berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke KLIA pada jam 4 petang Jumaat lalu, serta penerbangan demonstrasi dari KLIA ke Langkawi.
Lai dipetik China Press berkata, tempoh kelulusan penerbangan itu sah 72 jam.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jika syarikat itu ditubuhkan hanya untuk kegunaan peribadi.
Mengenai Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang belum dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Lai berkata: “Itu adalah operasi, kami tidak menjual tiket.”
Semalam, Mavcom berkata ia sedang menyiasat Suasa Airlines yang beroperasi secara komersil tanpa permit, dan pernah menolak permohonan syarikat itu mengendalikan penerbangan komersil Kuala Lumpur-Langkawi pada 22 Julai lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang dipetik akhbar sama menggesa kerajaan dan Kedutaan China di Malaysia menyiasat Lai yang didakwanya menggunakan taktik pelaburan Nanning untuk menarik minat warga China melabur di negara ini.
Beliau tertanya-tanya jika ada individu yang terbabit dalam aktiviti pengaliran modal dan pengubahan wang haram, memandangkan sekumpulan pelancong dari China akan dibawa ke Langkawi menghadiri pameran dan majlis promosi produk pada bulan ini dan bulan depan dengan yuran pendaftaran, tiket penerbangan dan kos penginapan dikenakan kepada mereka.
Lip Eng turut mendakwa Mon Space (M) Sdn Bhd menggunakan model operasi jualan langsung seperti YSLM dengan mengenakan bayaran RM500 ke atas ahli biasa dan RM5,000 untuk ahli pemegang saham.
Ahli biasa yang terdiri daripada ahli pasif dan ahli aktif di mana 300 markah bonus akan ditawarkan kepada ahli pasif setiap tiga bulan, manakala ahli aktif pula perlu mendapatkan dua ahli baru untuk mengumpul markah bonus yang boleh ditebus dengan wang tunai atau ganjaran lain.
Beliau mendakwa 90% pelabur syarikat Mon Space terdiri daripada warga China yang setiap seorang melabur sekurang-kurangnya berjuta-juta renminbi.
Lai merupakan bekas pembantu Zhang Jian yang mendakwa dirinya lelaki terkaya di dunia dan pengasas syarikat jualan langsung, YSLM, yang disahkan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta tidak mempunyai lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.