Vaksin: KKM kerjasama dengan institusi agama tangkis dakwaan

Vaksin: KKM kerjasama dengan institusi agama tangkis dakwaan

Ceramah akan diadakan di masjid atau kawasan perumahan, selain sebaran dalam media massa bagi menangkis dakwaan vaksin memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

vaksin
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan institusi agama untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap pemberian vaksin kepada anak-anak.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, pendekatan itu akan dilakukan dalam bentuk ceramah di masjid atau kawasan perumahan, selain sebaran melalui media massa bagi menangkis dakwaan vaksin memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

Susulan penularan virus difteria baru-baru ini, jelasnya, ibu bapa yang membawa anak-anak untuk mendapatkan vaksin juga semakin meningkat.

“Apa yang penting ialah kita ada cukup vaksin untuk diberikan kepada mereka. Anak-anak belum vaksin kena hantar ke klinik kesihatan berhampiran,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang cadangan mewujudkan undang-undang mewajibkan suntikan imunisasi kepada kanak-kanak di Malaysia.

Ketika ini, belum ada undang-undang khusus berkaitan suntikan imunisasi dan sebaiknya ia diwajibkan kepada semua kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula menjangkakan cabaran besar akan dihadapi dalam menangani tiga kumpulan tertentu, iaitu kumpulan antivaksin, miskin tegar dan pendatang.

Dr Jeyaindran berkata, cabaran yang dihadapi KKM juga termasuk memberi penerangan mengenai vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman dan kelompok yang berpindah ke lokasi lain.

“Terdapat kes mereka yang berpindah ke tempat baru tidak tahu klinik kesihatan berdekatan atau ada isu lain sehingga mereka lupa dapatkan vaksin. Kita akan selesaikan masalah ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.