Tembakan di Taman OUG: Kedai makan jadi agensi pembunuh upahan?

Tembakan di Taman OUG: Kedai makan jadi agensi pembunuh upahan?

Gerai wanita itu yang diusahakan bersama suaminya terletak di "kawasan berbahaya", di mana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada geng kongsi gelap dan wanita warga asing.

tembak_polis_car_ringgit_600
PETALING JAYA: Pemilik gerai makan yang ditahan untuk membantu siasatan kematian ejen hartanah ditembak mati di Taman OUG pada 6 Julai lalu, disyaki menjadikan premis perniagaan sebagai agensi pembunuh upahan.

Difahamkan, suspek wanita yang merupakan orang tengah itu adalah pemilik sebuah gerai makan tepi jalan yang terkenal di Cheras.

Menurut sumber yang dipetik China Press, gerai wanita itu yang diusahakan bersama suaminya terletak di “kawasan berbahaya”, di mana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada geng kongsi gelap dan wanita warga asing.

Pasangan suami isteri itu juga dikatakan mengenali ahli-ahli kongsi gelap dan membantu suspek utama kes pembunuhan ejen hartanah itu mencari dua ahli kongsi gelap sebagai pembunuh upahan.

Gerai makan itu masih beroperasi seperti biasa, walaupun selepas polis menahan pasangan peniaga terbabit dan mengambil keterangan daripada pekerja mereka.

Pemerhatian wartawan akhbar berbahasa Cina itu mendapati, gerai makan suspek akan berniaga dari petang hingga awal pagi, di mana pelanggan semakin ramai apabila larut malam berbanding gerai makan lain yang akan menamatkan operasi mereka lebih awal disebabkan faktor keselamatan.

Seorang peniaga berusia 48 tahun memberitahu makanan di gerai suspek sedap dan sejak lebih 10 tahun lalu tiada masalah dihadapi pasangan itu.

Selasa lalu, polis menahan lapan suspek yang terdiri daripada sepasang suami isteri menjalankan perniagaan jubin seramik serta satu lagi pasangan suami isteri yang merupakan pemilik gerai makan, selain empat suspek lelaki yang menganggotai sebuah sindiket pembunuh upahan, termasuk dua penembak dalam kes terbabit, ditahan di Kuala Lumpur dan Perak.

Peniaga jubin seramik itu dikenal pasti sebagai dalang utama dalam kes pembunuhan Datin Renyce Wong Siew Ling di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada Hari Raya pertama lalu kerana mahu membolot RM13 juta yang dilaburkan mangsa dalam perniagaan jubin seramik tahun lalu.

Kedua-dua suspek itu yang enggan memulangkan wang pelaburan mangsa bertindak mendapatkan khidmat pembunuh upahan melalui pasangan peniaga gerai makan itu yang kemudiannya berhubung dengan sindiket pembunuh upahan di Perak untuk mendapatkan khidmat penembak bagi membunuh mangsa dengan bayaran RM60,000.

Mangsa yang berusia 32 tahun itu maut akibat ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang 6 Julai lalu.

Satu daripada lima das tembakan itu terkena leher mangsa, manakala anak perempuannya berusia 8 tahun yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.