Warga asing dipaksa rakam aksi homoseks demi wang

Warga asing dipaksa rakam aksi homoseks demi wang

Kedua-dua suspek mendakwa mereka bukannya homoseksual.

homoseks

PETALING JAYA:
Dua lelaki asing yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki tempatan dipercayai akibat aktiviti seks ganas tiga individu (3P) Mei lalu, mendakwa terpaksa melacurkan diri demi wang.

Kedua-dua suspek itu mendakwa mereka sebenarnya adalah lelaki sejati, bukannya homoseksual.

Sumber polis memberitahu China Press, kedua-dua suspek itu juga mendakwa mereka membunuh mangsa kerana dipaksa merakamkan adegan seks 3P.

Mereka yang enggan mengikut arahan mangsa bertindak mengikat tangan dan kaki mangsa, tetapi secara tidak sengaja menyebabkan mangsa mati lemas.

Suspek dari Pakistan dan India itu mendakwa mereka pernah cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan dalam keadaan cemas, mereka mengambil cakera keras luaran bagi mengelakkan dikesan polis.

Mangsa korban adalah seorang lelaki Cina berusia 47 tahun yang merupakan penolong pengurus besar sebuah syarikat televisyen dalam talian.

Mangsa ditemui dalam keadaan bogel dengan mulut dan kakinya berikat, manakala alat sulitnya ditutupi kain di sebuah kondominium di Sri Hartamas kira-kira jam 12.17 tengah hari 16 Mei lalu.

Suspek dari Pakistan itu adalah buruh berusia 28 tahun manakala warga India itu pula adalah penganggur berumur 24 tahun.

Sumber polis itu turut memberitahu akhbar berkenaan, pada hari kejadian itu adalah kali ketiga kedua-dua suspek pergi ke rumah mangsa untuk mengadakan seks 3P.

Kedua-dua suspek itu ditahan di sebuah rumah pangsa di Jalan Ipoh pada 8 Julai lalu dan polis sudah mengemukakan permohonan melanjutkan reman ke atas mereka buat kali kedua untuk melengkapkan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.