Pakar keganasan R Paneir Selvam berkata demikian kepada FMT ketika mengulas cadangan Putrajaya untuk membenarkan hanya penumpang dengan tiket sah boleh memasuki terminal lapangan terbang bagi pendaftaran masuk penerbangan.
“Memang bagus kerajaan Malaysia sedar betapa pentingnya mempunyai keselamatan lapangan terbang lebih baik, tetapi kaedah itu mustahil untuk dilaksanakan.
“Ia juga akan menunjukkan lapangan terbang Malaysia beroperasi dengan cara berbeza dengan lapangan terbang antarabangsa lain.
“Mengapa tidak meletakkan kaedah keselamatan lebih baik di semua pintu masuk dan keluar lapangan terbang, dan latih semua pengawal keselamatan cara mengesan individual yang berkelakuan mencurigakan?”
Paneir, yang juga pengerusi Persatuan Kajian Perundangan dan Dasar berkata laporan berita baru-baru ini menyatakan anggota keselamatan kurang pengalaman dan latihan.
Akhbar The Sun awal bulan ini menjalankan eksperimen di mana seorang wartawannya memakai pakaian seperti wanita, menutup seluruh badan, untuk menyusup masuk bagi memeriksa kepekaan keselamatan di KLIA.
Akhbar harian berbahasa Inggeris itu mendapati pengawal keselamatan lapangan terbang kurang peka dan langsung tidak melihat kepada wartawan yang menyamar itu meskipun pergerakan dan tingkah lakunya agak mencurigakan.
“Itu yang patut diberi perhatian terlebih dulu. Daripada melarang pelawat, kerajaan sepatutnya meningkatkan pengawasan dan menyediakan latihan ‘profil’ kepada pegawai mereka,” katanya yang juga pensyarah mengenai keganasan di HELP University.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kertas kerja itu, dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, mencadangkan orang lain termasuk ahli keluarga dan rakan yang menghantar penumpang, perlu berada di luar bangunan.
Ini bagi memastikan orang lain yang tidak ada urusan di lapangan terbang, dihalang masuk ke dalam bangunan terminal, katanya.
