Keow Wee Loong, yang dituduh berbohong dan cuba meraih publisiti murahan oleh jurugambar Poland Arkadiusz Podniesiński, berkata beliau tidak menyangka akan diserang sedemikian rupa oleh seorang jurugambar lain.
“Kamu menuduh saya mencari publisiti dan memuat naik laporan CNN, Time dan sebagainya, tetapi kamu sendiri melakukan perkara sama di laman kamu… kamu mendakwa saya membuat keuntungan daripada kerjaya saya sebagai jurugambar, bolehkah saya tanya, berapa keuntungan kamu membuat penggambaran Fukushima?
“Saya tidak menyalahkan kamu untuk itu, sebagai jurugambar sepenuh masa, itulah cara kita menjalankan kehidupan, menerusi gambar kita,” kata Keow dalam kiriman Facebook.
Sebelum ini, cerita Keow yang mendakwa berjaya menyusup masuk zon larangan nuklear di Fukushima, dilaporkan secara meluas media antarabangsa, termasuk CNN, The Guardian dan majalah Time.
Bagaimanapun, Podniesiński, jurugambar yang pernah membuat penggambaran bandar Chernobyl yang kini kosong selepas kebocoran nuklear pada 1986, mempersoalkan dakwaannya dan berkata penggambaran Keow sebenarnya dibuat di dalam zon hijau yang boleh dimasuki sesiapa.
“Keseluruhan cerita pengembaraannya melalui zon larangan, menyelinap masuk hutan dan mengelak polis, adalah berupa fiksyen daripada seorang lelaki yang mencari nama dan publisiti.
“Saya pernah ke Fukushima beberapa kali bagi merakamkan kebinasaan disebabkan loji kuasa nuklear itu, maka saya tidak ada masalah mengenal pasti kawasan di mana Keow Wee Loong mengambil gambarnya,” kata Podniesiński sambil memuat naik peta Fukushima.
“Kesemua gambarnya bukan diambil dalam zon merah seperti didakwanya, tetapi dalam zon hijau.”
Berjalan dalam hutan
Keow bagaimanapun berkata apa yang didakwanya sebelum ini adalah benar, dan menghabiskan sejumlah 13 jam, termasuk berjalan kaki lebih 3 jam, sehingga berjaya memasuki kawasan larangan yang dilabel zon merah.
“Saya berjalan di luar jalan raya, di dalam kawasan hutan sepanjang jalan utama di antara jam 3.00 dan 5.00 pagi bagi mengelak dikesan.
“Rumput di sini tebal dan setinggi saya. Saya ke situ pada hari minggu,” katanya, dan menambah selain kereta polis, tidak ada penduduk tempatan atau kereta lalu-lalang ketika itu walaupun lampu isyarat tetap berjalan seperti biasa.
Keow turut menjelaskan beliau tidak memakai pakaian kalis radioaktif kerana kesempitan wang.
“Apabila tiba di Tokyo, saya kehilangan wang tunai dan kad saya bernilai 300,000 yen,” katanya.
Keow berkata hasil penggambarannya bakal dihargai satu hari nanti.
“Gambar saya mungkin bodoh bagi kamu, tetapi apa yang saya lakukan adalah sebahagian sejarah, 10 tahun daripada sekarang, orang akan tahu apa berlaku di Fukushima dan bagaimana perasaannya berada dalam zon larangan.”
Pautan: Pemuda Malaysia ‘ceroboh’ Fukushima cerita bohong, kata jurugambar veteran