Semua bas ekspres wajib pasang pengehad kelajuan

Semua bas ekspres wajib pasang pengehad kelajuan

Peraturan itu dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat-peringkat.

liow-bas

BENTONG:
Semua bas ekspres di negara ini wajib memasang alat khas pengehad kelajuan (speed limiter) dalam usaha kerajaan mengatasi kekerapan kemalangan melibatkan pengangkutan awam di musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peraturan itu dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat-peringkat.

Untuk peringkat awal, semua bas baharu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

“Saya memberi arahan kepada semua termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom (Puspakom Sdn Bhd) supaya semua bas baharu perlu memasang alat pengehad laju ini dan tidak boleh lagi dikecualikan.

“Ia akan dilaksanakan serta-merta dan kita minta semua bas ekspres apabila tiba masa pemeriksaan Puspakom, mereka perlu memasang alat ini,” katanya selepas merasmikan Pusat Komuniti Maju Bentong yang turut dihadiri Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad hari ini.

Menurutnya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan utama sehingga mengakibatkan kemalangan meragut banyak nyawa.

Dalam kemalangan terbaru Ahad lalu, 10 kenderaan dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara Selatan selepas kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek semasa menuruni laluan berbukit.

Bagaimanapun, kesemua penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Liow berkata, pemasangan alat berkenaan tidak akan mengurangkan keupayaan bas untuk mendaki dan menuruni bukit, sebaliknya hanya berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan tersebut.

“Ini adalah kelebihan ‘speed limiter’ kita perkenalkan.

“Saya mengadakan dialog dengan operator lori dan bas. Mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan untuk memasang ‘speed limiter’ ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.