Trak rempuh ratusan pengunjung pantai Nice, lebih 70 maut

Trak rempuh ratusan pengunjung pantai Nice, lebih 70 maut

Belum ada pihak yang tampil bertanggungjawab ke atas insiden itu, walaupun sebelum ini Perancis menjadi sasaran kumpulan pengganas IS.

nice3

PARIS:
Lebih 70 orang terbunuh dan beratus-ratus cedera selepas sebuah trak dipandu ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Hari Bastille di Nice, selatan Perancis.

Pemandu lori itu ditembak mati selepas memandu turun ke kawasan tepi pantai Promenade des Anglais, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelematkan diri.

“Kami melihat orang ramai dilanggar dan serpihan berterbangan di sekitar,” kata wartawan AFP yang menyaksikan kejadian di mana trak putih dipandu pada kelajuan tinggi di bahu jalan pantai melanggar orang ramai yang berkumpul di situ.

Beratus-ratus pejalan kaki menjerit ketakutan dan melarikan diri dari kawasan itu.

“Keadaan di sekitar penuh huru-hara,” katanya.

AFP memetik pendakwa raya Nice, Jean-Michel Pretre, sebagai berkata lori itu dipandu dua kilometer melalui orang ramai.

Bagaimanapun, belum ada pihak yang tampil bertanggungjawab ke atas insiden itu, walaupun sebelum ini Perancis menjadi sasaran kumpulan pengganas IS.

Insiden itu berlaku selepas pesta meraikan hari kebangsaan Perancis, Hari Bastille, yang bermula dengan perarakan ketenteraan, kereta kebal dan jet pejuang di sepanjang lebuh Champs-Elysees.

Sambutan itu lazimnya akan berakhir dengan pertunjukkan bunga api di latar Menara Eiffel di Paris, serta bandar-bandar di seluruh negara.

Serangan terbaru ini berlaku beberapa jam selepas Perancis mengumumkan darurat yang diisytiharkan sebelumnya akan tamat hujung bulan ini selepas serangan pada November lalu yang mengorbankan lebih 130 nyawa.

Presiden Francois Hollande berkata perintah itu tidak akan diperbaharui selepas 26 Julai mengikut undang-undang perkasa keselamatan di Perancis.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.