Serangan di institut latihan perindustrian kes lama, kata JTK

Serangan di institut latihan perindustrian kes lama, kata JTK

Jabatan Tenaga Kerja berkata tenaga pengajar berkenaan telah dikenakan tindakan tatatertib susulan insiden di Kuala Terengganu pada Februari lalu.

instructor ilp
Tangkap layar daripada video tular menunjukkan tenaga pengajar berlutut di atas badan pelajar sambil memegang kepalanya dengan kasar.
PETALING JAYA:
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memaklumkan video tular menunjukkan seorang tenaga pengajar didakwa menyerang pelajar di Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu adalah kes lama.

Menurut jabatan itu, kejadian berlaku pada 4 Feb dan siasatan dalaman telah dilancarkan pada hari sama.

“Tindakan tatatertib telah diambil terhadap tenaga pengajar terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada FMT, sambil menambah individu berkenaan telah dipindahkan ke ibu pejabat jabatan pada 6 Feb bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan.

JTK turut memaklumkan pelajar-pelajar terlibat telah diberikan sesi kaunseling segera selepas kejadian.

Agensi berkenaan juga mengingatkan tenaga pengajar supaya menggunakan kaedah pengajaran sesuai dan mengelakkan tindakan boleh mencetuskan insiden seumpama itu.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, JTK tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” katanya sambil meminta orang ramai tidak menyebarkan video itu bagi melindungi privasi pelajar terbabit.

Pada 1 Okt, video tular di Facebook menunjukkan insiden berkenaan, di mana tenaga pengajar dilihat berlutut di atas badan pelajar sambil memegang kepalanya dengan kasar, sekali gus mencetuskan kemarahan netizen.

Portal berita Majoriti melaporkan pengguna media sosial menganggap tindakan tenaga pengajar itu terlalu keras dan tidak wajar dalam suasana latihan vokasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.