Sekolah mubaligh Kristian tertua di NS terus tabur bakti

Sekolah mubaligh Kristian tertua di NS terus tabur bakti

SMK St. Paul merupakan sekolah Inggeris pertama ditubuhkan Mubaligh Kristian La Salle Brothers di Negeri Sembilan pada 1899.

st paul

SEREMBAN:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul merupakan antara sekolah tertua di Seremban, Negeri Sembilan berusia lebih 100 tahun yang masih mampu menabur bakti hingga hari ini.

Ditubuhkan pada 1899 oleh mubaligh Kristian La Salle Brothers, sekolah tersebut merupakan sekolah pertama bahasa Inggeris di Negeri Sembilan dengan
jumlah pelajarnya ketika itu hanya 25 orang.

Antara tokoh yang berjaya dilahirkan sekolah berkenaan ialah Angkawasan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, bekas menteri kesihatan era Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra, Tan Sri Bahaman Samsudin dan bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura S. Rajaratnam.

Mengulas sejarah SMK St. Paul, pengetuanya Lucy Magaret Ratnam berkata bangunan asal sekolah berkenaan dirobohkan pada 1980-an dan dibangunkan semula di Jalan Yam Tuan.

“Menjelang tahun 1950, SMK St. Paul mempunyai enrolmen pelajar seramai 1,000 orang. Bangunan sekolah lama di Paul Street tidak dapat menampung pelajar yang ramai dan keperluan untuk mendirikan sebuah sekolah menengah yang baharu timbul.

“Reverend Brother Casimir L’Angellier yang merupakan Brother Director atau pengetua sekolah pada masa itu telah memulakan kerja-kerja pembinaan sekolah di Mont La Salle (Jalan Lobak) yang mampu menampung seramai 700 pelajar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bangunan SMK St. Paul dirasmikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kesembilan, Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Jun 1957.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah pelajar di SMK St.Paul semakin bertambah dengan seramai 1,300 orang pada 1975.

Ekoran itu, katanya satu blok bangunan sekolah baharu, dikenali sebagai Blok James Macken dilengkapi tiga makmal sains, 12 bilik darjah dan sebuah kantin didirikan bagi menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

Magaret berkata blok bangunan ini, dirasmikan Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 23 Sept 1977.

“SMK St. Paul saya rasa layak dipertimbangkan sebagai Objek Warisan Negeri kerana sekolah ini merupakan sekolah Inggeris pertama yang ditubuhkan oleh Mubaligh Kristian La Salle Brothers di Negeri Sembilan pada 1899.

“Walaupun bangunan lama sekolah telah dirobohkan, tetapi segala rekod sekolah dari 1900 hingga kini terdapat di galeri sekolah. Semua rekod mengenai sekolah lama dan sekolah sekarang terdapat dalam bentuk gambar, majalah sekolah, trofi dan objek-objek lain yang relevan,” katanya.

Beliau berkata bahan tersebut sangat berharga dan tidak dapat ditemui dalam mana-mana muzium di negara ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) Aziz Mohd Gorip berkata pihaknya menjalankan kajian terhadap sejarah bangunan SKM St. Paul itu.

“Tujuannya adalah bagi kita inventori atau merekodkan jumlah bangunan warisan bersejarah yang masih terdapat di Negeri Sembilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.