Kutipan tol LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

Kutipan tol LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

Kadar caj tol yang dikenakan sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 setiap kilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta) dan ia masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

KEMAMAN:
Keputusan Kabinet untuk memulakan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas tengah malam ini, bukanlah keputusan tergesa-gesa.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata, pengguna menikmati kemudahan itu secara percuma sejak lebuh raya sejauh 184 kilometer dari Jabor di Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu itu dibuka sepenuhnya pada 31 Januari tahun lalu.

“LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan…jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

“Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai…tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang…kosnya juga telah meningkat berkali ganda,” katanya pada sidang media hari ini.

Rosli berkata, kadar caj tol yang dikenakan juga sama dengan LPT1 dari Kuantan ke Karak sebanyak RM0.12 setiap kilometer bagi kenderaan kelas satu (kereta) dan ia masih relevan serta tidak membebankan pengguna.

Mengenai kemudahan di LPT2, Rosli berkata, lebuh raya itu dilengkapi 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah yang dilengkapi tandas, kedai makan dan surau yang beroperasi sepenuhnya.

“Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal…saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk
pembinaan stesen minyak di R&R lain.

“Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan,” katanya.

Mengenai tuntutan pembayaran balik kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri daripada kerajaan pusat, Rosli berkata, pada dasarnya kerajaan pusat bersetuju membayar balik tuntutan tersebut.

“Kini kedua-dua pihak sedang meneliti kaedah pembayaran semula dan tempoh pembayaran, tapi kita yakin kita akan dapat balik bayaran tersebut yang mana kita gunakan duit dana khas untuk bina LPT3.

“Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.