Projek NPE 2 bakal kurangkan kesesakan di KL

Projek NPE 2 bakal kurangkan kesesakan di KL

Pengguna boleh jimat hingga 25 minit perjalanan dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya apabila projek bernilai RM1.7 bilion itu siap pada 2029.

Alexander Nanta Linggi
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) di Plaza Tol Pantai Dalam hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion yang melibatkan laluan utama sepanjang 6.4km atau 15km keseluruhan termasuk tanjakan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 itu direka bentuk bagi menyuraikan kesesakan di koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru.

“Apabila siap kelak iaitu dijangka dalam tempoh 48 bulan, pengguna berupaya menjimatkan hingga 25 minit masa perjalanan dari Bangsar/Mid Valley ke Subang Jaya dengan peningkatan tahap perkhidmatan jalan.

“Selain itu, projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial dan perkhidmatan,” katanya.

Nanta berkata demikian dalam ucapan perasmian sewaktu menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam hari ini.

Nanta berkata kos pembangunan projek NPE 2 dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad (IJM), tanpa beban kewangan kepada kerajaan.

“Ini merupakan contoh terbaik kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam pembangunan infrastruktur mampan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada sesi sidang media, Nanta berkata setakat ini sebanyak enam syarikat telah menyatakan minat untuk membida bagi projek berkenaan.

“Pelaksanaan sistem itu akan dibuat melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan diberi peluang untuk berbincang dan berurusan terus dengan syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada.

“Dari segi kriterianya, kita mahu sistem yang terbaik dan efisien termasuk melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan yang utamanya menjurus kepada memastikan pengguna dapat menikmati perjalanan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.