Budak 2 tahun antara 4 sekeluarga ditembak mati

Budak 2 tahun antara 4 sekeluarga ditembak mati

Empat maut dipercayai ditembak termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

tembak_polis_penang_6001

PETALING JAYA:
Polis menemui mayat dua lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak dalam keadaan berlumuran darah selepas ditembak di sebuah kilang memproses ayam di Jalan Batu Maung, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Toh Hock Choon, 50, Tan Saw Sim, 55, Chung Wah Thong, 30, dan Ah Bee yang berusia dua tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Razaruddin Hussain berkata kejadian pada 2.55 pagi itu dipercayai bermotifkan wang.

“Semua mangsa ditembak menggunakan pistol semi automatik yang dipercayai diperoleh secara haram dan polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya dipetik daripada Bernama.

Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati semua mangsa terbaring di atas lantai dalam sebuah pejabat kecil di kilang itu, dengan keadaan berlumuran darah.

Pemeriksaan pasukan forensik dan Hospital Besar Pulau Pinang mendapati semua mangsa ditembak.

Siasatan awal polis mendapati Hock Choon dan Saw Sim tidak berkahwin secara sah sementara Wah Thong ialah anak lelaki Hock Choon dan Ah Bee ialah anak Wah Thong.

Berdasarkan soal siasat dengan pekerja kilang itu, mangsa dan ahli keluarganya dipercayai sering bergaduh dan suspek dalam kes ini ialah anak lelaki Saw Sim yang masih belum dikenal pasti.

“Polis percaya keluarga si mati mempunyai sedikit masalah dengan suspek dan sering bergaduh,” katanya.

Seorang pekerja kilang yang hanya ingin dikenali sebagai Chen berkata lelaki terbabit sering datang ke kilang itu meminta wang daripada Hock Choon dan Saw Sim yang mengusahakan kilang berkenaan.

Beberapa pekerja Hock Choon turut melihat suspek yang memandu kenderaan Toyota Hilux dengan nombor plat kenderaan PLJ 7392 datang ke kilang itu dan masuk ke pejabat.

Polis kini sedang mencari suspek yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.