“Mana surat yang akan datang? Saya tak dapat,” katanya ringkas kepada FMT hari ini.
Pengerusi sebuah masjid di Selangor dilapor mengizinkan William memasuki ruang solat masjid ketika majlis berbuka puasa pada 25 Jun lalu.
Bagaimanapun, William menafikan memberi ucapan berbaur politik, sebaliknya beliau sekadar mengagihkan sumbangan dan mengucapkan “selamat berbuka” kepada jemaah.
Susulan itu, Jais memanggil nazir masjid terbabit untuk memberi keterangan pada 29 Jun lalu kerana membenarkan William berucap dalam dewan solat.
Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan menghantar surat peringatan kepada William dalam masa terdekat dan laporan lengkap sudah dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
William ketika ditanya sama ada beliau akan berhati-hati dan tidak memasuki ruang solat masjid susulan isu itu, katanya: “Saya nak tengok surat dahulu apa yang jadi.”
Pada 1 Julai lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap sesetengah nazir masjid di Selangor yang membenarkan rumah ibadat itu digunakan untuk tujuan berpolitik.
“Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah ahli politik yang terlibat bukannya beragama Islam…ini secara terang-terangan menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik berkenaan.
“Jika perlu, perkhidmatan nazir yang terlibat hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain,” titah baginda.
Menurut Garis Panduan Penggunaan Masjid dan Surau di Negeri Selangor 2010, individu bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang ibadat masjid atau surau di negeri itu untuk sebarang aktiviti.
Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) dan didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
