Baju lengan panjang untuk pekerja wanita KFC di Kelantan

Baju lengan panjang untuk pekerja wanita KFC di Kelantan

Sebanyak 10 daripada cawangan KFC di Kota Bharu mula memperkenalkan pakaian seragam berlengan panjang sejak April lalu selepas perbincangan dengan kerajaan negeri Kelantan.

kfc-kelantan
PETALING JAYA: Restoran makanan segera KFC mula mewajibkan pekerja wanitanya memakai baju seragam berlengan panjang di cawangan Kelantan sebagai mematuhi peraturan menutup aurat yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri itu tahun depan.

New Straits Times melaporkan KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu selepas perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Syarikat kami tiada masalah mematuhi peraturan kerajaan negeri Kelantan itu dan kami akan memastikan pekerja wanita memakai baju seragam itu sepanjang masa,” kata seorang jurucakap KFC kepada akhbar terbabit.

Semalam, New Straits Times memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood sebagai berkata, peraturan pakaian seragam baru itu bertujuan memastikan pekerja wanita Islam menutup aurat mereka.

Peraturan itu akan dilaksanakan terhadap pekerja wanita Islam di pasar raya negeri terbabit.

Pekerja wanita bukan Islam di Kelantan tidak tertakluk kepada peraturan itu, tetapi mereka dinasihatkan berpakaian sopan.

Dasar baru itu mencetuskan bantahan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan PAS terdesak untuk kekal relevan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.