Kes ejen hartanah ditembak masih tiada perkembangan

Kes ejen hartanah ditembak masih tiada perkembangan

Anak mangsa berusia 8 tahun tidak sesuai memberi keterangan ketika ini kerana keadaannya masih lemah selepas menjalani dua pembedahan akibat kecederaan serius di bahagian perut.

car_tembak

PETALING JAYA:
Anak ejen hartanah yang turut cedera dalam kes tembakan di Taman OUG minggu lalu mulai sedar hari ini, tetapi masih tidak mampu bercakap.

Menurut laporan China Press, dua pegawai polis wanita melawat mangsa berusia 8 tahun itu pada jam 1.40 tengah hari tadi sebelum meninggalkan Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira 30 minit kemudian.

Pegawai polis itu mendedahkan mangsa tidak sesuai memberi keterangan ketika ini kerana keadaannya masih lemah selepas menjalani dua pembedahan akibat kecederaan serius di bahagian perut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Shahrul Othman Mansor dipetik akhbar itu sebagai berkata, kes tembakan itu masih tiada perkembangan terkini.

Difahamkan, polis sekali lagi memanggil saudara-mara dan kenalan mangsa untuk merakamkan keterangan mereka.

Datin Renyce Wong Siew Ling, 32, yang ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat di Taman OUG, Jalan Klang Lama kira-kira jam 2.30 petang Rabu lalu, dikebumikan di Fullbow Memorial Park di Karak, Pahang semalam.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas satu daripada lima das tembakan itu terkena lehernya, manakala anak perempuannya yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera terkena tembakan dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.