Guan Eng tak perlu letak jawatan, kata Salleh Keruak

Guan Eng tak perlu letak jawatan, kata Salleh Keruak

Menteri komunikasi itu berkata ia terpulang kepada ketua menteri Pulau Pinang yang menghadapi tuduhan rasuah itu.

salleh-keruk_lim-guan-eng_600

KUALA LUMPUR:
Lim Guan Eng tidak perlu meletak jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang susulan dakwaan rasuahnya hari, kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Undang-undang tidak memestikan beliau letak jawatan. Ini baru dakwaan dan beliau belum didapati bersalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Jaringan YES 4G LTE hari ini.

“Namun terserah kepadanya dan ahli parti sama ada merasakan beliau perlu letak jawatan atau tidak.”

Pagi tadi, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mendakwa Setiausaha Agung DAP itu di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa untuk kepentingan diri dan isterinya dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Manakala ahli perniagaan, Phang Li Khoon didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Guan Eng pada 28 Julai 2015 berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Salleh, yang juga menteri komunikasi dan multimedia, meminta semua pihak memberikan peluang mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya.

“Negara kita mengamalkan prinsip pemisahan kuasa dengan sistem kehakiman yang bebas. Kita perlu berlaku adil dan beri peluang kepada mahkamah untuk mendengar (hujah) kedua-dua pihak (dan membuat keputusan),” katanya lagi.

Penahanan Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, yang mengetuai barisan pendakwaan.

DAP mendakwa tindakan tersebut sebagai bermotif politik dan pendakwaan terpilih.

Semalam, kira-kira 500 penyokong berhimpun di depan ibu pejabat SPRM Pulau Pinang semalam mendesak pembebasannya.

Mahkamah hari ini membebaskan Guan Eng dengan ikat jamin RM1 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.